BANGI, 13 Nov (Bernama) -- Penganjuran Konvensyen Pengajian Islam Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Antarabangsa 2025 mencatatkan sejarah dengan kehadiran lebih 4,000 peserta sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pendidikan Islam serantau.
Konvensyen yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, menandakan era baharu transformasi pengajian Islam yang menggabungkan warisan atau turath dengan inovasi teknologi.
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerusi kenyataan memaklumkan kehadiran pemimpin negara, sarjana, dekan fakulti pengajian Islam serta mahasiswa dari dalam dan luar negara menjadi titik tolak kepada anjakan bidang pengajian Islam, yang bukan lagi sekadar bidang akademik tetapi agenda strategik pembinaan peradaban Malaysia MADANI.
“Seruan agar pengajian Islam mengambil kepimpinan dalam membimbing penggunaan kecerdasan buatan (AI) berlandaskan maqasid syariah adalah satu langkah berani dan progresif,” menurut kenyataan itu.
Dalam kenyataan sama, Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abd Kadir mengumumkan tujuh fokus utama kementerianya pada 2025 bagi memacu transformasi pengajian Islam.
Beliau berkata ia termasuk penyediaan bakat terbaik negara dengan literasi digital, pemerkasaan Industri di Kampus (IoC), sabatikal industri untuk pensyarah, dan penubuhan unit Penyelidikan, Pembangunan, Inovasi, Pengkomersialan dan Ekonomi (RDICE) bagi pengkomersilan penyelidikan.
“Graduan pengajian Islam tidak seharusnya terhad kepada kerjaya tradisional sebaliknya perlu meneroka bidang teknologi maklumat, kewangan Islam, media, diplomasi, dan industri kreatif,” katanya.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar pula menekankan keperluan reformasi kurikulum transdisiplinari yang menggabungkan syariah dengan teknologi kewangan, rantaian blok rantai, dan analisis data.
"Bayangkan sarjana Islam yang bukan sahaja pakar fiqh muamalat, tetapi juga memahami teknologi kewangan - ini membuka peluang kerjaya luas dalam kewangan Islam global," kata beliau.
Selain itu, Pengerusi Majlis Dekan Pengajian Islam (MDPI) Profesor Dr. Fauzi Hamat menegaskan peranan MDPI sebagai platform penyelarasan nasional dalam menyatukan hala tuju pengajian Islam di seluruh IPT.
Dekan Fakulti Pengajian Islam UKM Prof Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim menegaskan antara 10 resolusi konvensyen adalah melahirkan generasi ulama teknokrat, mengarusperdanakan etika teknologi Islam, dan menjadikan Malaysia hab pengajian Islam antarabangsa yang menyatukan turath dengan sains dan teknologi.
Konvensyen itu turut menyaksikan penyerahan sumbangan Program Siswa bernilai RM1.08 juta melibatkan pemberian komputer riba kepada 20 pelajar di setiap IPT, membantu meningkatkan akses pendidikan digital dalam kalangan pelajar yang memerlukan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial