Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Bantuan SARA Ringankan Beban, Bantu Kelangsungan Hidup

20/07/2025 11:57 AM

Oleh Khatijah Jistoh

TAWAU, 20 Julai (Bernama) -- Sebagai penerima baharu, Deon Marhansa, 40, amat bersyukur dan menyifatkan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sangat membantu kelangsungan kehidupan keluarganya.

Deon yang bekerja di bengkel kenderaan berkata bantuan itu dimanfaatkan sepenuhnya dengan pembelian barangan keperluan asas serta barangan persekolahan anaknya.

"Saya penerima baharu bantuan SARA mulai April lepas. Sebelum ini, saya hanya dapat bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan saya amat berterima kasih kepada Kerajaan MADANI kerana melalui bantuan ini saya dapat menyediakan keperluan makan dan minum untuk anak dan isteri, lebih awal.

"Gaji yang saya terima setiap bulan kadang-kadang lewat masuk. Jadi, apabila ada SARA saya boleh beli dahulu barang seperti beras, telur dan minyak masak. Duit gaji yang diterima pula saya guna untuk tambah barangan yang lain. Bantuan yang diberi kerajaan amat bermakna dan saya harap bantuan ini dapat diteruskan setiap tahun," katanya kepada Bernama.

Deon ialah seorang daripada 5.4 juta penerima yang mendapat manfaat SARA, bantuan yang diberikan secara bersasar bagi membantu mereka yang benar-benar memerlukan. 

Pekerja kilang di Balung, Amad Supardi, 41, pula berkata bantuan berkenaan membantunya menjimatkan sebahagian daripada perbelanjaan bulanan dapur.

"Sebelum ini saya memperuntukkan untuk belanja dapur kira-kira RM300 sebulan, tetapi apabila ada bantuan SARA, dapat juga saya berjimat. Pertamanya saya akan membeli beras, minyak masak, telur, mi, sabun dan ubat gigi melalui bantuan yang disalurkan menerusi MyKad.

"Saya perlu tanggung isteri serta empat anak yang masih bersekolah. Saya bersyukur kerajaan menyediakan bantuan seperti STR dan SARA ini, saya harap pada masa akan datang lebih banyak kategori barangan yang diluluskan untuk SARA, seperti ayam dan sayur," katanya.

Di Kunak, suri rumah Asmah Labade, 38, berkata bantuan yang diterima suaminya yang bekerja sebagai nelayan membolehkan mereka membeli ubat-ubatan serta kelengkapan sekolah untuk anak-anak.

"Selain membeli beras, telur, teh, minyak masak dan mi segera, saya beli juga ubat-ubatan seperti minyak angin untuk kegunaan kami sekeluarga termasuk mentua selain membeli barang keperluan sekolah anak seperti pensil dan buku," katanya yang tinggal di Kampung Pangkalan.

Seorang lagi penerima SARA Hamidi Lamit, 45, dari Kampung Selamat, Kunak berkata penggunaan MyKad sebagai medium pembayaran memudahkan urusan pembelian.

"Menerusi MyKad, kita tidak perlu beratur ambil duit di bank, sebaliknya kita boleh terus ambil barang di kedai dan guna MyKad untuk pembayaran,” katanya yang bekerja sebagai pemotong rumput.

Di Lahad Datu, suri rumah Marchela Bongsu, 35, dari Taman Warisan turut berharap bantuan SARA tidak terhenti hingga hujung tahun ini sahaja sebaliknya diteruskan pada masa hadapan.

"Pemberian SARA ini sangat membantu meringankan beban suami yang bekerja sebagai pemandu e-hailing dengan pendapatan tidak menentu. Kami sudah menerima bantuan ini selama sembilan bulan dan dengan adanya bantuan ini dapatlah kami bernafas sedikit.

"Saya ada juga menjual kuih untuk bantu suami, tepung yang saya beli itu datangnya daripada bantuan SARA. Jadi, saya amat bersyukur dengan bantuan yang diberikan kerajaan yang cukup bernilai bagi kami yang pendapatan tidak menentu," katanya.

Program SARA merupakan sumbangan tambahan kepada penerima STR yang dikategorikan sebagai miskin atau miskin tegar di bawah eKasih.

Inisiatif berkenaan mencerminkan usaha untuk meningkatkan kehidupan golongan kurang berkemampuan melalui kerangka Ekonomi MADANI sekali gus membaiki kualiti hidup semua rakyat Malaysia dengan memastikan setiap orang mendapat manfaat dan peluang yang adil, menikmati taraf hidup lebih baik, serta perlindungan sosial mencukupi.

Di bawah Kerajaan MADANI, bantuan tahunan SARA tahun ini telah dinaikkan kepada RM2,100 untuk isi rumah yang layak dan berdaftar dalam sistem eKasih, berbanding RM1,200 yang diberikan tahun lepas.

Dari Januari hingga Mac 2025, penerima memperoleh RM100 sebulan yang dikreditkan terus ke akaun MyKad mereka dan bermula pada 1 April lepas, jumlah ini dinaikkan kepada RM200 yang memberi manfaat kepada 5.4 juta penerima.

Pada 24 Mac lepas, kerajaan melancarkan fasa dua pembayaran STR yang memberikan manfaat kepada 8.5 juta penerima, iaitu mewakili 60 peratus daripada orang dewasa di Malaysia, dengan bantuan hingga RM650. Fasa ini melibatkan dana sebanyak RM1.7 bilion, peningkatan daripada RM1.5 bilion tahun lepas.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan