MERSING, 19 Julai (Bernama) -- Yayasan Johor Corporation (Yayasan JCorp) komited dalam memastikan kelestarian ekosistem marin dengan program penanaman 60 terumbu karang di perairan Pulau Aur di sini.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan JCorp Zaidatul Zurita Abdul Rahman berkata penanaman terumbu karang itu bertujuan memulihara habitat dan menyokong kelestarian biodiversiti, sekali gus menjamin keseimbangan ekosistem marin bagi generasi akan datang.
“Kami turut memperkenalkan kaedah baharu yang lebih mesra alam hasil kerjasama dengan Reef Check Malaysia pada program kali ini iaitu penggunaan botol kaca kitar semula sumbangan komuniti sebagai tapak asas penanaman terumbu karang.
“Malah, terumbu karang yang ditanam sejak 2023 (program kali pertama) juga telah menunjukkan pertumbuhan positif, kira-kira dua sentimeter dan kini menjadi habitat kepada lebih 10 spesies hidupan marin, termasuk Bluefaced Angelfish, Regal Angelfish dan False Clown Anemonefish,” katanya di Pulau Aur hari ini.
Sebanyak 50 sukarelawan terdiri daripada kakitangan Kumpulan JCorp dan enam pengamal media turut menyertai Program Rehabilitasi Terumbu Karang 2025 yang berlangsung selama tiga hari di pulau itu.
Zaidatul Zurita berkata selain aktiviti di dasar laut, program pembersihan pantai turut diadakan bagi meningkatkan kesedaran peserta terhadap impak pencemaran ekosistem pulau, di samping sukaneka berasaskan bahan kitar semula yang memupuk semangat perpaduan dan tanggungjawab alam sekitar.
“Acara kemuncak program ialah Pentas Seni Johor yang juga antara platform untuk mencungkil bakat penduduk di pulau ini melalui persembahan nyanyian dan seni pentas sebagai usaha memperkasa komuniti luar bandar dalam bidang seni dan budaya.
“Kami percaya setiap komuniti wajar diberi ruang untuk menyerlahkan bakat, sama ada dalam seni, pendidikan atau pemuliharaan alam sekitar,” katanya.
Yayasan JCorp turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada penduduk Pulau Aur sebagai tanda keprihatinan terhadap komuniti setempat.
Program itu antara usaha berterusan Yayasan JCorp bagi memelihara ekosistem marin Johor dan menggalakkan penglibatan komuniti setempat dalam pemeliharaan alam sekitar, selain inisiatif eksplorasi rumput laut yang turut dijalankan di perairan Johor.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial