KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Bengkel Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) 2025: Dari Teori ke Amali telah berjaya memberikan pendedahan serta panduan praktikal kepada usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mengenai pelaksanaan amalan ESG dalam operasi perniagaan mereka.
SME Corp. Malaysia dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa bengkel tersebut dianjurkan oleh SME Corp. Malaysia, sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP). Ia merupakan sebahagian daripada pengisian Program Siri Kelestarian PMKS 2025, selain Seminar e-Invois dan Hari Terbuka PMKS.
Program ini berlangsung selama dua hari bermula Rabu lepas di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, Terengganu.
Penerapan ESG oleh PMKS bukan sahaja dapat memastikan kelangsungan mereka dalam rantaian bekalan sedia ada, malah membuka peluang ke pasaran baharu serta meningkatkan akses kepada pembiayaan hijau (green finance),” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Seminar e-Invois untuk PMKS yang berlangsung pada hari kedua memberikan pendedahan menyeluruh kepada peserta berkenaan pelaksanaan sistem e-Invois serta memudahkan proses transformasi digital syarikat.
Melalui seminar interaktif tersebut, peserta didedahkan kepada konsep dan asas e-Invois yang selari dengan garis panduan yang ditetapkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Malaysia, selain mendapat bimbingan praktikal langkah demi langkah dalam melaksanakan sistem e-Invois – khususnya penggunaan portal MyInvois.
Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia Rizal Nainy, ketika berucap dalam Seminar e-Invois di Kuala Terengganu, semalam berkata penerapan sistem e-Invois adalah selari dengan amalan ESG yang menyokong elemen tadbir urus (governance) dengan meningkatkan ketelusan serta pematuhan dalam pelaporan kewangan firma.
“Langkah ini secara langsung menyokong usaha Malaysia ke arah tadbir urus kewangan yang lebih cekap. Justeru, pengenalan sistem e-Invois adalah langkah tepat, dan PMKS perlu mengambil ‘langkah kecil dengan keyakinan’ demi menjamin masa depan perniagaan yang lebih mampan,” katanya.
Selain itu, Hari Terbuka PMKS@Terengganu yang berlangsung semalam turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti seperti sesi bicara berskala kecil (pocket talk), aktiviti jaringan perniagaan, kaunter khidmat nasihat PMKS serta pameran daripada 20 agensi kerajaan dan swasta termasuk TEKUN Nasional, SME Bank, YPU dan Celcom.
Majlis anjuran kerjasama Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu, itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, merangkap Pengerusi YPU, Datuk Ariffin Deraman.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial