NILAI, 11 Julai (Bernama) -- Pertandingan pidato dan pengisahan berunsurkan kenegaraan mampu menjadi medium dalam menyebarkan kefahaman berkaitan sejarah negara dan dasar-dasar yang dilaksanakan kerajaan.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Dr Rafie Ab Malek berkata adalah penting bagi setiap kalangan masyarakat memiliki jati diri yang kukuh di samping mempunyai pengetahuan berhubung dasar-dasar yang dilaksanakan kerajaan.
“Jati diri yang kukuh dibentuk daripada kefahaman yang mendalam terhadap sejarah negara yang mampu membuat setiap masyarakat merasakan cinta terhadap negara.
“Selain itu, golongan masyarakat juga perlu cakna dengan dasar-dasar serta polisi yang dilaksanakan kerajaan, bagi memastikan pelaksanaannya mencapai objektif,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah Pertandingan Pidato dan Pengisahan Peringkat Negeri Sembilan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Rafie berkata pertandingan seperti ini yang dilaksanakan secara terbuka kepada orang awam tidak kira sama ada pelajar mahupun profesion apa pun, sekali gus dapat mendidik satu masyarakat yang bercakap berdasarkan fakta.
“Kita hari ini banyak dengar cerita-cerita tentang negara tentang kerajaan di kedai-kedai kopi yang entah betul entah tidak ceritanya. Melalui program seperti ini, setiap apa yang diceritakan atau dituturkan berasaskan fakta dan maklumat yang jelas.
“Secara langsung kita dapat lahirkan masyarakat yang bercakap berdasarkan ilmu, fakta dan maklumat yang jelas... saya rasa ia (pertandingan) perlu diperluaskan lagi dan lebih ramai golongan belia turut serta,” katanya.
Johan bagi pertandingan itu membawa pulang wang tunai RM1,500 bagi kategori pidato dan pengisahan RM3,000.
Johan bagi kedua-dua kategori akan mewakili negeri dalam pertandingan di peringkat kebangsaan.....