Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

JIM tumpas penipuan dalam talian warga China di Ipoh


Tarikh kemaskini: 12/12/2019





IPOH, 12 Dis -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak berjaya menumpaskan aktiviti penipuan dalam talian melibatkan warga China dalam operasi di sini, semalam. 

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata dalam operasi pada pukul 3.30 petang yang melibatkan dua rumah tiga tingkat di Gerbang Maju Rapat itu, seramai 65 warga China termasuk empat wanita berumur antara 17 hingga 55 tahun ditahan. 

"Ketika serbuan, semua sedang menjalankan aktiviti dalam talian dan sebaik menyedari kehadiran pegawai imigresen mereka cuba melarikan diri hingga berlaku pergelutan dan ada di antaranya bertindak agresif, bagaimanapun keadaan dapat dikawal serta cubaan melarikan diri berjaya dipatahkan. 

Kesemua mereka dipercayai menjalankan aktiviti dalam talian sejak seminggu lepas," katanya dalam satu sidang media di Pejabat JIM Perak di Kompleks Kementerian Dalam Negeri di sini, malam ini. 

Khairul Dzaimee berkata dalam serbuan tersebut, pihak JIM turut merampas pelbagai peralatan  antaranya  232 unit telefon bimbit, 45 komputer riba, 26 skrin komputer, satu mesin 'swipe' kad kredit, 140 keping pelbagai jenis kad bank dan 47 kad pengenalan China.

Menurut Khairul Dzaimee semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tiada dokumen perjalanan sah dan Seksyen 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial atau pas kerja.

Beliau berkata pihak JIM akan bekerjasama dengan agensi lain seperti Bank Negara Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi mengekang penipuan dalam talian. 

Dalam pada itu, Khairul Dzaimee turut menafikan pembabitan kakitangan JIM dengan aktiviti penipuan dalam talian di Cyberjaya yang diserbu pada 20 Nov lalu dan menyatakan siasatan kes telah selesai. 

Katanya kesemua 680 warga China yang ditahan di Cyberjaya itu akan didakwa di  Mahkamah Sesyen Sepang esok dan Isnin.

"Saya telah berhubung dengan Duta  China dan mereka akan memberikan kerjasama sepenuhnya serta berharap supaya pendakwaan dibuat dengan segera supaya mereka ini boleh diusir keluar.

Tindakan JIM pula selepas selesai proses pendakwaan mereka akan diusir dan disenaraihitamkan daripada memasuki Malaysia selama-lamanya," katanya.

Katanya, setakat ini JIM telah menahan seramai 941 warga China dalam pelbagai operasi membanteras aktiviti penipuan dalam talian iaitu 680 orang pada 20 Nov di Cyberjaya, 104 orang pada 26 Nov di Sabah, 52 orang pada 29 Nov di Sarawak serta di Perak 105 orang pada 9 dan 12 Dis.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Pertunjukan dron menerangi langit Langkawi

 
     

"Permaisuri Zarith Sofiah Opera House" bakal jadi pusat seni dan budaya di JB

 
     

Skim perlindungan keselamatan sosial untuk rakyat Malaysia bekerja di Singapura bakal diperkenal

 
     

Kerajaan Perak peruntuk RM70,000 pasang 10 mesin AED

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2020 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel