Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

80 keluarga di Kampung Ladang Kalidonia bakal dapat rumah baharu percuma


Tarikh kemaskini: 09/12/2019





GEORGE TOWN, 9 Dis -- Penduduk Kampung Ladang Kalidonia Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) boleh menarik nafas lega apabila projek perumahan yang dinanti-nantikan mereka bakal direalisasikan dengan pembinaan rumah mampu milik jenis kluster satu tingkat di kawasan itu.

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang Prof Dr P. Ramasamy berkata 80 keluarga yang menetap di Kampung Ladang Kalidonia akan diberikan rumah gantian secara percuma selepas fasa pertama projek perumahan itu siap, dijangka pada tahun 2022, memandangkan mereka adalah pemilik asal dan telah lama menduduki kampung itu.

"Kampung Ladang Kalidonia di atas PT 2195 (Lot lama 1534) Mukim 11 SPS dengan keluasan 6.113 hektar menjadi tanah kerajaan melalui pelucuthakan di bawah Seksyen 100 Kanun Tanah Negara 1955 melalui Warta Kerajaan bertarikh 24 Nov 1994 akibat kegagalan membayar cukai tanah.

"Pada asalnya projek penempatan semula ini merupakan janji kerajaan terdahulu kepada penduduk-penduduk estet melebihi 10 tahun yang lepas. Melihat kepada keadaan kehidupan harian penduduk di ladang itu, kerajaan negeri mengambil inisiatif berbincang dengan beberapa pihak termasuk wakil penduduk dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung bagi menyelesaikan isu-isu yang timbul," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Beliau berkata hasil perbincangan itu kerajaan negeri bersetuju melantik anak syarikat Eco World Development Group Berhad, Eco Horizon Sdn Bhd sebagai pemaju bagi projek perumahan mampu milik Jenis A berkenaan.

Terdahulu, Ramasamy menyaksikan majlis menandatangani perjanjian pembangunan rumah mampu milik Jenis A, Kampung Ladang Kalidonia SPS antara Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang (CMI) dan Eco Horizon Sdn Bhd.

Pada majlis itu, Ketua Menteri Chow Kon Yeow mewakili CMI manakala Eco Horizon Sdn Bhd diwakili Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Eco World Development Group Berhad, Datuk S. Rajoo.

Ramasamy berkata projek pembinaan perumahan yang terbahagi kepada dua fasa itu tidak melibatkan perpindahan penduduk sekali gus tidak mengganggu kehidupan harian mereka kerana penduduk hanya akan dipindahkan selepas fasa pertama siap dan kemudian pembangunan fasa kedua akan diteruskan di mana keseluruhan pembangunan membabitkan 272 unit itu dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2025.

Sementara itu, Chow berkata setelah selesai penempatan semula 80 keluarga di Kampung Ladang Kalidonia, baki unit kediaman akan ditawarkan oleh kerajaan negeri kepada pemohon yang telah berdaftar untuk rumah mampu milik Jenis A bagi membantu rakyat negeri itu memiliki rumah khususnya golongan berpendapatan rendah.

Beliau berkata anggaran kos pembangunan projek itu bernilai RM50.94 juta yang akan dilaksanakan secara berfasa iaitu fasa pertama melibatkan pembinaan 112 unit manakala fasa kedua terdiri daripada 160 unit.

"Kerja-kerja pembinaan rumah mampu milik dengan binaan seluas 650 kaki persegi ini dijadual bermula Mac 2020. Ini satu usaha yang amat dinanti-nantikan kerana keadaan tapak adalah tidak sempurna dan penduduk perlu duduk dalam keadaan serba kekurangan dari segi infrastuktur. Dengan pelaksanaan projek ini maka penduduk di kampung ini akan dapat satu kemudahan perumahan yang baharu," katanya. 

Dalam pada itu, seorang wakil penduduk P. Jagen yang turut hadir pada majlis itu berkata penduduk di situ melahirkan rasa syukur dan gembira serta berterima kasih kepada kerajaan negeri yang sentiasa prihatin terhadap kebajikan rakyat Pulau Pinang.

Menurutnya, penduduk di situ yang kebanyakannya golongan berpendapatan rendah dan miskin telah menunggu terlalu lama untuk mendapatkan rumah baharu.

"Kebanyakan penduduk sudah mendiami rumah itu sejak 60 tahun lalu dan ada rumah yang sudah lama serta uzur. Penduduk juga berdepan dengan masalah anai-anai yang menyebabkan struktur rumah tidak kukuh dan bocor. Bila ada bencana akan mendatangkan masalah kepada kami. Kami amat gembira bila dapat tahu kerajaan negeri mahu membina penempatan semula di situ," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Pertunjukan dron menerangi langit Langkawi

 
     

"Permaisuri Zarith Sofiah Opera House" bakal jadi pusat seni dan budaya di JB

 
     

Skim perlindungan keselamatan sosial untuk rakyat Malaysia bekerja di Singapura bakal diperkenal

 
     

Kerajaan Perak peruntuk RM70,000 pasang 10 mesin AED

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2020 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel