Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pahang wujud Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands


Tarikh kemaskini: 09/12/2019





KUANTAN, 9 Dis -- Kerajaan negeri Pahang mewujudkan Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands (PKCH) khusus untuk merancang dan memastikan pembangunan mampan dan lestari di kawasan tanah tinggi itu.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata PKCH yang diluluskan pada 23 Nov lepas juga berperanan mempromosikan Cameron Highlands sebagai pusat perdagangan, pelaburan dan lojistik selain membantu perancangan pembangunan sosio-ekonomi, infrastrutur, kediaman dan pertanian. 

PKCH dipengerusikan oleh Menteri Besar dengan dibantu Setiausaha Kerajaan Negeri sebagai Timbalan Pengerusi, di samping melibatkan penyertaan lima wakil kerajaan negeri, tiga wakil kerajaan Persekutuan dan dua wakil daripada pakar atau profesional.

"Kerajaan negeri juga membuat beberapa keputusan penting berkaitan Cameron Highlands, antaranya semua tanah pertanian yang diberikan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) diberi milik kepada Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) Pahang yang akan menyewakannya dalam tempoh ditetapkan kepada pekebun. 

"Pekebun yang hendak menyewa tanah PSK ini mestilah memperoleh sijil Malaysia Good Agricultural Practice (MyGAP) yang dikeluarkan Jabatan Pertanian sebelum kebenaran menyewa atau memperbaharui sewaan diberikan," katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini. 

Wan Rosdy memaklumkan keluasan tanah pertanian yang diberikan TOL ialah sekitar 5,519 hektar iaitu 78 hak milik dan bagi menjamin pengurusan cerun yang lebih cekap, semua 'sheltered farming' oleh pekebun perlu mendapat kelulusan daripada Majlis Daerah Cameron Highlands. 

Kerajaan negeri, menurut Wan Rosdy pada Majlis Mesyuarat Kerajaan 13 Mac lalu, memutuskan  kawasan Sungai Ichat yang sebelum ini tercemar teruk, serta kawasan sekitarnya diluluskan bagi pewartaan Hutan Simpan Sungai Ichat, melibatkan kawasan seluas 121.12 hektar. 

Wan Rosdy juga memaklumkan operasi penguatkuasaan Op Lestari Fasa 2 akan dilaksanakan semula melibatkan kawasan seluas 97.12 hektar selepas ia tertangguh pada April lalu, ekoran tindakan 28 pekebun kecil memfailkan injunksi di Mahkamah Tinggi. 

Bagaimanapun, injunksi itu ditarik semula pada 30 Sept lepas dan menurut Wan Rosdy, kerajaan negeri mengalu-alukan keputusan menempatkan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang pelaksanaan Op Lestari. 

Menurutnya keputusan menempatkan anggota keselamatan itu dicapai pada Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pemulihan Cameron Highlands yang dipengerusikan bersama oleh beliau sendiri dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Parlimen hari ini. 

"Kehadiran anggota ATM dan PGA bagi tujuan kawalan keselamatan dan rondaan diharap dapat mengatasi isu berkaitan pencerobohan tanah secara haram dan kerajaan negeri telah mengenal pasti kuarters kerajaan di Sungai Burung, Brinchang untuk penempatan anggota keselamatan terlibat," katanya. 

Wan Rosdy berkata Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan bertanggungjawab terhadap kos membaiki dan menyediakan utiliti kuarters itu manakala kerajaan negeri mengeluarkan peruntukan RM150,000 bagi peberlanjaan makan dan minyak kenderaan pasukan keselamatan.

Katanya peruntukan itu akan disalurkan menerusi Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands bagi tempoh Disember hingga Mac 2020, dan seteruskan pihak ATM serta PGA masing-masing akan mengeluarkan peruntukan sendiri bagi tujuan itu. 

Bagi membantu aspek penguatkuasaan, Wan Rosdy berkata kerajaan negeri juga meluluskan penubuhan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang dan Pasukan 'Task Force' Jabatan Perhutanan Pahang bagi menyelenggara program tanaman semula hutan khususnya di kawasan rizab sungai. 

-- BERNAMA 

   

 
 
     
   
 

MB Johor tegaskan Nur Dinie Damia negatif influenza A

 
     

Rangkaian kebab terbesar dunia kini di Ipoh

 
     

Peserta program bimbingan INSKEN raih jualan RM8.89 juta

 
     

Lapan nelayan hilang di perairan Tambisan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2020 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel