Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Ketua Jajahan Kuala Krai meninggal dunia akibat serangan jantung


Tarikh kemaskini: 09/12/2019




KOTA BHARU, 9 Dis  -- Ketua Jajahan Kuala Krai Dr Nik Mohd Azlan Abd Hadi, 59, meninggal dunia akibat serangan jantung, ketika dalam perjalanan ke pejabatnya hari ini.

Timbalan Ketua Jajahan Kuala Krai Mohd Azri Abd Rahman berkata Allahyarham Nik Mohd Azlan disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 12.07 tengah hari tadi di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai.

Beliau berkata Allahyarham dikatakan mengadu kepada pemandunya, beliau sakit dada pagi tadi ketika dalam perjalanan ke pejabat.

"Sebaik sampai di pekarangan pejabat, Allahyarham didapati tidak sedarkan diri dan pemandu memanggil saya untuk melihat keadaan beliau.

"Kami segera membawa beliau ke Unit Kecemasan Hospital Sultan Ismail Petra. Pasukan perubatan berusaha selama 40 minit untuk menyelamat Nik Mohd Azlan, namun akhirnya beliau disahkan meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Mohd Azri berkata Nik Mohd Azlan yang juga Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Krai (MDKK) bertugas di Pejabat Tanah dan Jajahan (PTJ) Kuala Krai sejak 1 Julai lepas, dan aktif dalam kerja-kerja kemasyarakatan.

“Beliau baharu sahaja bersama agensi-agensi lain menjalankan kerja gotong-royong membersihkan kawasan banjir di Chuchuh Puteri dan Sungai Sok, minggu lalu.

“Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanah Merah selepas Isyak nanti,” katanya.

Nik Mohd Azlan merupakan bekas Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan selama tiga tahun, sebelum menjawat jawatan sebagai Ketua Jajahan Kuala Krai 1 Julai lepas.

Beliau juga merupakan bekas Setiausaha Sulit Kanan, kepada bekas Menteri Besar Kelantan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Pertunjukan dron menerangi langit Langkawi

 
     

"Permaisuri Zarith Sofiah Opera House" bakal jadi pusat seni dan budaya di JB

 
     

Skim perlindungan keselamatan sosial untuk rakyat Malaysia bekerja di Singapura bakal diperkenal

 
     

Kerajaan Perak peruntuk RM70,000 pasang 10 mesin AED

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2020 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel