Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pesta Pulau Pinang sasar 500,000 pengunjung


Tarikh kemaskini: 08/12/2019





GEORGE TOWN, 8 Dis -- Pesta Pulau Pinang mempunyai tarikannya yang tersendiri dan jumlah pengunjung sentiasa menunjukkan trend peningkatan setiap tahun.

Pengurus Besar penganjuran Pesta Pulau Pinang Datuk Sarul Bahiyah Abu berkata pihaknya menyasarkan 500,000 pengunjung sepanjang 31 hari pesta yang bermula sejak 1 Dis lepas.

Beliau berkata sasaran keuntungan jualan sebanyak RM2.3 juta dijangka dapat dicapai pada tahun ini hasil daripada penjualan gerai dan kutipan tiket masuk.

"Sejak pesta bermula 1 Dis lepas, kedatangan pengunjung dalam 7,000 ke 8,000 pengunjung sehari. Pada tahun lepas sebanyak 499,000 pengunjung yang datang dan kita yakin dapat mencapai sasaran 500,000 pengunjung tahun ini.

"Tahun lepas Pesta Pulau Pinang diadakan selama 40 hari sebab kita bermula di hujung bulan November. Tahun ini kita mulakan lewat sikit atas faktor cuaca kerana hujung bulan lepas cuaca tidak berapa baik. Alhamdulillah, dalam seminggu ini cuaca baik," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Pesta Pulau Pinang 2019, di sini malam tadi.

Majlis itu dirasmikan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas. Turut hadir isteri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Toh Puan Majimor Shariff, Ketua Menteri Chow Kon Yeow dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Datuk Yew Tung Seang.

Sarul Bahiyah yang juga Pegawai Kewangan Negeri berkata Pesta Pulau Pinang Edisi ke-53 yang bertemakan 'Santai Bersama Keluarga' itu sentiasa menampilkan kelainan termasuk mewujudkan taman berkonsepkan 'Upcycle Park'.

"Kita menggunakan barangan terbuang atau kitar semula seperti tayar, kayu pallet, botol plastik dan sebagainya. Dari segi pencahayaan pula, Jabatan Kerja Raya telah menaik taraf dan menambah jumlah lampu," katanya.

Beliau berkata buat pertama kalinya, syarikat perkhidmatan e-hailing, My Car, menjalinkan kerjasama dengan menawarkan perkhidmatan kepada pengunjung melalui kad promo khas MyPenang dengan potongan RM2 untuk setiap perjalanan sepanjang penganjuran pesta bagi mengurangkan masalah kesesakan dan kawasan tempat parkir di tapak pesta.

Tambahnya, Pesta Pulau Pinang tahun ini juga melibatkan penyertaan daripada negara-negara jiran seperti Pavilion Sumatera Barat dan Pavilion Sumatera Utara, Aceh selain turut menyaksikan penyertaan semula Pavilion dari Thailand yang terkenal dengan pelbagai hidangan.

Terdahulu, Chow dalam ucapannya berkata Pesta Pulau Pinang secara tidak langsung menjadi jambatan dalam mengerat jalinan muhibbah dan keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan latar belakang bukan sahaja untuk warga Pulau Pinang malah pengunjung di sekitar wilayah utara.

"Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua pihak yang terlibat terutama Jabatan Kewangan Negeri yang telah berjaya memastikan Pesta Pulau Pinang Edisi ke-53 ini terus kekal relevan dengan pelbagai pengisian dan penambahbaikan setiap tahun," katanya.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

OKU mengaku tidak salah lakukan amang seksual terhadap anak kandung

 
     

Anggota JPJ Terengganu menyamar penumpang bas ekspres

 
     

Kedah perkasa kedudukan dalam industri kertas teknologi hijau

 
     

Wabak coronavirus tidak jejas tahun melawat Johor -- Exco pelancongan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2020 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel