Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Air terawat di Pulau Pinang antara paling bersih dan selamat di Malaysia


Tarikh kemaskini: 07/12/2019





GEORGE TOWN, 7 Dis -- Air terawat di Pulau Pinang adalah antara yang paling bersih, selamat dan sihat di Malaysia, menurut Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP).

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP  Datuk Jaseni Maidinsa berkata keputusan yang diperoleh itu berdasarkan 3,148 ujian yang dikendalikan PBAPP ke atas air terawat di negeri ini, sejak 11 bulan lepas.

Beliau berkata di bawah Program Jaminan Kualiti (QAP), Kementerian Kesihatan (MOH) menetapkan parameter nasional bagi kekeruhan air, bebas residu klorin, bakteria e-coli, e-coli + bebas residu klorin dan aluminium dalam air terawat.

"Di Pulau Pinang, Makmal Pusat PBAPP dan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, di bawah MOH, bersama-sama mengambil sampel serta menguji air terawat secara kerap sejajar dengan program Pemantauan Kualiti Air Minuman Kebangsaan (NDWQS).

"Keputusan ujian air terawat bagi Pulau Pinang bagi 2019 (sehingga kini) menunjukkan ‘produk’ PBAPP  mematuhi semua syarat yang ditetapkan MOH, dengan pencapaian ketara direkodkan jauh di bawah parameter QAP bagi kandungan microb dan kimia," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Jaseni berkata Makmal Pusat PBAPP menerima Anugerah Kecemerlangan Makmal bagi kali ketiga berturut-turut daripada Institut Kimia Malaysia semalam.

Beliau berkata anugerah tahun ini diberi kepada Makmal Pusat PBAPP khusus bagi bidang ujian air dan makmal itu memenangi anugerah sama pada 2017 dan 2019.

"Makmal Pusat PBAPP diwujudkan pada 2008. Ia melaksanakan peranan penting dalam menyokong operasi rawatan air PBAPP dari segi jaminan kualiti, terutamanya di Loji Rawatan Air Sungai Dua, yang merupakan loji rawatan air terbesar di Pulau Pinang.

"Secara purata, Loji Rawatan Air Sungai Dua menghasilkan kira-kira 900 juta liter air terawat setiap hari, atau lebih daripada 80 peratus air terawat yang digunakan di Pulau Pinang pada 2019. Ujian ke atas air terawat mengesahkan kualiti yang baik dan konsisten,” katanya.

Beliau berkata petugas PBAPP menggunakan ujian saintifik yang diiktiraf untuk ‘mengawasi’ kualiti air sungai untuk memastikan air yang ‘cukup baik’ untuk menjalani proses rawatan air konvensional, seperti yang digunakan di Pulau Pinang oleh PBAPP.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Nota suara kematian akibat koronavirus di Bentong palsu

 
     

Pemilihan Bersatu Sabah: Hajiji antara ketua bahagian menang tanpa bertanding

 
     

Sembilan ketua cabang PKR Sabah tuntut tiada tindakan disiplin terhadap Zuraida

 
     

Lori Kontena Terbabas: Trafik sesak di lebuh raya PLUS arah selatan dekat Sungkai

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2020 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel