Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pesakit kanser tahap empat tangguh rawatan akibat kekangan kewangan


Tarikh kemaskini: 19/11/2019





MARANG, 19 Nov  -- Berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Perumpamaan itu sesuai menggambarkan keadaan Abdul Majid Muda, 56, dari Kampung Rhu Renggeh, dekat sini yang menghidap kanser tisu tahap empat.

Disebabkan penyakit itu, Abdul Majid yang tingal bersama ibunya, Esah Salleh, 75, terpaksa menanggung kesakitan hampir sepanjang masa sejak setahun lepas berpunca daripada benjolan besar di bahagian belakangnya yang terasa seakan menyucuk dan berdenyut-denyut.

Sering kali beliau diserang sesak nafas dan seakan-akan lumpuh sebelah badan apabila cuba melakukan kerja seperti mengangkat barang berat.

Abdul Majid berkata benjolan itu telah kelihatan sejak dua tahun lepas, tetapi saiznya sangat kecil iaitu sebesar biji mancis dan tiada rasa sakit walaupun dipicit.

Bagaimanapun, pada akhir tahun lepas, benjolan itu semakin membesar sehingga mencapai saiz sebiji bola dan kesakitannya juga tidak terhingga.

"Doktor pakar di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) memaklumkan bahawa saya menghidap kanser tisu tahap empat dan hampir setahun saya terpaksa berulang-alik ke hospital setiap minggu untuk mendapatkan rawatan.

"Bagaimanapun, atas nasihat doktor saya telah menjalani pembedahan bagi membuang cecair dalam benjolan itu pada September lepas dan hasilnya, cecair sebanyak tiga botol mineral bersaiz satu liter berjaya dikeluarkan dari bahagian yang bengkak," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Rhu Renggeh, hari ini.

Menurut Abdul Majid, walaupun cecair itu telah disedut keluar, benjolan kembali membesar dalam tempoh dua bulan selepas menjalani pembedahan disebabkan sel kanser yang sangat aktif.

Oleh itu doktor pakar di HSNZ telah merujuk beliau kepada Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian bagi tujuan rawatan kemoterapi bagi mematikan sel-sel kanser.

"Saya sepatutnya menjalani rawatan pada 1 Nov lepas, tetapi terpaksa ditangguhkan disebabkan masalah pengangkutan serta kewangan.

"Saya pernah memohon bantuan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) tetapi tidak diluluskan dengan alasan saya tidak mempunyai tanggungan keluarga," katanya yang sudah lebih setahun tidak bekerja kerana sakit.

Abdul Majid, yang juga menghidap penyakit kencing manis, berkata beliau tidak boleh mengharapkan bantuan keluarga kerana ibunya yang sudah tua hanya bergantung kepada wang Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan untuk makan minum sementara adik-beradiknya yang lain juga kurang berkemampuan.

Bagaimanapun, penderitaan dan kesusahan Abdul Majid akhirnya mendapat perhatian syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri, Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) yang menghulurkan sedikit sumbangan kewangan dan barangan makanan untuk keluarga itu.

Bantuan itu disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Saabi Wahab menerusi program Cakna Prihatin EPIC 2019.

"Sumbangan ini sebahagian daripada program Tanggungjawab Sosial Syarikat (CSR) syarikat yang memfokuskan pelbagai golongan seperti orang sakit, fakir miskin dan pelajar.

"Pada tahun ini kita telah mengagihkan RM350,000 sumbangan CSR kepada ribuan penerima dan InsyaAllah tahun hadapan kita akan tambah lagi jumlah peruntukan itu sekiranya keadaan kewangan syarikat mengizinkan," katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Nelayan hilang ditemui lemas di Kuala Dungun pagi ini - bomba

 
     

Pekan Rantau Panjang kembali pulih

 
     

Pesta Pulau Pinang sasar 500,000 pengunjung

 
     

Malaysia perlu rebut peluang bangun pelancongan mesra Muslim

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel