Sukarelawan sepenuh masa APM bakal terima perlindungan Perkeso
Tarikh kemaskini: 19/11/2019

ALOR SETAR, 19 Nov -- Sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang bertugas sepenuh masa bakal menerima manfaat perlindungan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang dijangka diperkenalkan tahun depan.
Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Roslan Wahab berkata ketika ini pihaknya sedang mengadakan perbincangan dengan Perkeso bagi melaksanakan perkara itu yang akan dinikmati lebih 4,200 sukarelawan agensi itu seluruh negara.
“Sebelum ini, kita telah wujudkan Tabung Amanah Pertahanan Awam. Sekiranya sukarelawan APM yang sedang bertugas mengalami kemalangan, sumbangan akan diberikan kepada mereka menggunakan wang dari tabung berkenaan.
“Perbincangan awal ini (dengan Perkeso) nampak positif tetapi kita kena tukar terma sukarelawan itu bagi membolehkan mereka menerima perlindungan Perkeso. Kita sedang fikir terma yang paling sesuai untuk digunakan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Himpunan Setia APM di sini, hari ini.
Katanya, buat permulaan perlindungan itu hanya disediakan bagi sukarelawan sepenuh masa, manakala inisiatif lain akan dibincangkan dengan Perkeso untuk sukarelawan separuh masa
Dalam perkembangan lain, ditanya sama ada APM berhasrat menambah aset bagi melicinkan operasinya, Roslan berkata buat masa ini tiada keperluan ke arah itu memandangkan aset sedia ada mampu menyediakan perkhidmatan yang cekap dan pantas ketika keadaan memerlukan.
“Tiada penambahan pada aset-aset besar seperti bot tetapi kita akan tambah peralatan menyelamat kerana peralatan yang diguna pakai sekarang ada yang sudah lama. Bajet sudah ada jadi kita akan beli peralatan baharu dan awal tahun hadapan ia akan diedarkan,” katanya.
Mengenai keanggotaan APM pula, Roslan berkata setakat ini seramai 2.2 juta orang telah mendaftarkan diri dengan APM untuk menjadi sukarelawan, namun pihaknya menghadapi kekangan kewangan dan masa untuk melatih semua mereka.
“Walaupun ramai yang daftar, tapi bukan semuanya aktif, jadi kita akan fokus kepada anggota kita yang sedia ada sahaja,” katanya.
Beliau berkata, beberapa syarat kelayakan fizikal juga telah ditetapkan kepada pegawai dan anggota tetap APM bagi memastikan mereka tidak mengalami masalah obesiti, namun syarat tersebut tidak dikenakan ke atas anggota sukarelawan.
“Memang ada yang mengalami masalah obesiti tetapi untuk anggota sukarelawan kita tidak boleh halang pengambilan mereka. Kalau obesiti sekalipun, bukan mereka tidak boleh membantu, tetapi kita ada laksanakan program kecergasan dan penurunan berat badan untuk bantu mereka,” katanya.
-- BERNAMA
|