Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

KV Keningau raih pingat perak pada pertandingan inovasi di Singapura


Tarikh kemaskini: 18/11/2019





KOTA KINABALU, 18 Nov -- Kolej Vokasional (KV) Keningau melakar kejayaan di Singapura apabila dianugerahkan pingat perak pada Pertandingan Global Inovasi Lanjutan yang bermula 15 Nov sehingga semalam.

Kejayaan itu hasil kerjasama pasukan yang terdiri daripada tiga pelajar program Teknologi Automotif, Mohd Akmal Hadi Bin Haidon, Joel Damillie dan Herichller Wong serta diiringi dua guru yang mengajar program itu iaitu Amirullah Abdul Karim dan Niel Solimin. 

Pasukan ini adalah satu-satunya pasukan tunggal dari Malaysia manakala pasukan lain yang menyertai ialah dari China, Jepun, Ukraine, Mesir, Vietnam, Filipina, Thailand, Indonesia dan Singapura dengan pertandingan berlangsung di Universiti Teknologi Nasional Singapura. 

Ketua Kajian dan Inovasi KV Keningau, Sirhajwan Idek berkata projek yang dipertandingkan adalah Peranti Pembersihan Injeksi Bahan Api yang juga alat pembersih injeksi bahan api kenderaan yang lebih cekap, mudah dan selamat untuk dikendalikan serta kos pembuatan yang jauh lebih rendah berbanding alat pembersih lain yang berada di pasaran. 

Katanya, inovasi ini adalah projek tahun akhir pelajar dan ia pernah memenangi pertandingan Pameran Rekaan dan Inovasi Sabah pada tahun lepas bagi peringkat luar bandar serta finalis Anugerah Harta Intelek Negara zon Sabah pada tahun yang sama. 

Tujuan utama KV Keningau aktif menyertai pertandingan inovasi seumpama ini adalah untuk memperkukuh Pendidikan Berasaskan Hasil dalam pendidikan dan latihan vokasional dan teknikal.

"Ia mengutamakan kemampuan dan kemahiran yang pelajar capai hasil daripada pembelajaran mereka di kolej vokasional. 

"Ini adalah penting untuk menyiapkan pelajar bagi dunia sebenar dan alam pekerjaan yang semakin mencabar dan sentiasa berubah," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pelajar KV Keningau telah mengikuti pertandingan inovasi di negara ini, Thailand, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, Taiwan dan Australia dan telah meraih pelbagai pingat serta hadiah di peringkat global.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Malaysia perlu rebut peluang bangun pelancongan mesra Muslim

 
     

Air terawat di Pulau Pinang antara paling bersih dan selamat di Malaysia

 
     

Sokongan keluarga, majikan cetus kejayaan penerima Anugerah Canselor

 
     

P. Pinang catat 384 kes rogol dari tahun 2014 hingga 2018

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel