Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Terapi seni penjara beri kesan positif pada banduan


Tarikh kemaskini: 16/11/2019





MELAKA, 16 Nov -- Program terapi seni yang dilaksanakan di semua penjara di bawah kendalian Jabatan Penjara Malaysia memberi kesan positif pada penghuni institusi itu dari segi emosi dan kemahiran bagi mempersiapkan mereka berhadapan dunia luar apabila dibebaskan kelak.

Speky, 34, banduan Penjara Bentong, Pahang, antara penenun terlibat menghasilkan kain tenunan dipilih Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sebagai persalinan pada Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16, berkata beliau berasa tenang dan dapat mengawal emosi dengan baik setelah terlibat menenun kain sutera sejak 2016.

"Menenun kain sutera memerlukan kesabaran dan fokus yang tinggi kerana saya perlu bermain dengan beribu benang sutera. Pada mulanya saya hampir berputus asa kerana ia lebih pada kerja perempuan dan berpendapat tidak mampu meneruskannya.

Alhamdulillah hasil tenunan saya disukai Raja Permaisuri Agong dan dipakai pada istiadat pertabalan, rasa bangga dan gembira," kata bekas pembantu chef itu yang mampu menghasilkan pelbagai tenunan daripada sutera termasuk selendang, kemeja dan samping.

Beliau yang merupakan anak kelahiran Sentul, Kuala Lumpur ditemui pada Majlis Perasmian Pameran Terapi Seni Penghuni Jabatan Penjara bertemakan 'Ekspresi Tirai Besi' yang dirasmikan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob di sini hari ini.

Anak ketiga daripada empat beradik itu berkata namun atas bantuan pegawai penjara dan rakan penghuni institusi itu, beliau kini merupakan antara penenun mahir di Penjara Bentong yang kini mempunyai kira-kira 30 penenun.

Beliau yang menjalani hukuman penjara 10 tahun sejak 2014 atas kesalahan di bawah Seksyen 39 A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 itu berkata kemahiran tenunan dimiliki itu antara perkara boleh dibanggakan dan ia mengambil masa antara enam hingga setahun untuk menguasai kemahiran itu sepenuhnya.

Beliau berkata kemahiran menenun sutera itu diharap dapat membantunya mendapat pekerjaan dalam bidang itu dan menjana pendapatan yang lebih baik setelah dibebaskan.

Sementara itu, bagi Mat Yi, 27, dari Penjara Marang, Terengganu berkata aktiviti menenun samping membantunya mengisi masa terluang sepanjang menjalani hukuman di penjara selain menghindarkannya daripada memikirkan perkara yang tidak berfaedah.

Anak kelahiran Bachok, Kelantan itu berkata beliau mendapat sokongan daripada keluarga untuk memulakan perniagaan tenunan songket selepas tamat menjalani hukuman pada April tahun hadapan.

"Ini pertama kali saya masuk penjara atas kesalahan dadah bermula 2013 dan ada hikmah saya masuk ke sini kerana dapat kemahiran baharu, saya mula menenun pada 2015 apabila rakan di penjara ajak sertai bengkel," kata anak bongsu daripada tiga beradik itu.

Beliau berkata sehelai samping yang dihasilkan mengambil masa antara satu hingga tiga bulan bergantung pada corak yang dikehendaki dan sehingga kini sebanyak 10 helai samping telah dihasilkan.

Dalam pada itu, banduan daripada Penjara Seremban, Negeri Sembilan, Aboy, 39, berkata beliau dapat meluahkan perasaan yang terbuku dihatinya melalui lukisan yang dihasilkan dan ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban emosi yang perlu ditanggungnya.

Bapa kepada seorang anak lelaki berusia 10 tahun itu berkata pandangan dan penerimaan masyarakat sekeliling membuatkannya sering kali gagal mengawal emosi sehingga mudah terjebak dengan dadah walaupun telah lima kali keluar masuk penjara sejak 2008.

"Saya perlukan sokongan masyarakat selain daripada keluarga untuk saya benar-benar pulih dari najis dadah. Saya selalu mendengar cemuhan orang kampung tentang masa silam saya, mereka seolah-olah tidak boleh menerima saya," kata yang berasal dari Batu Kikir, Negeri Sembilan.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Nelayan hilang ditemui lemas di Kuala Dungun pagi ini - bomba

 
     

Pekan Rantau Panjang kembali pulih

 
     

Pesta Pulau Pinang sasar 500,000 pengunjung

 
     

Malaysia perlu rebut peluang bangun pelancongan mesra Muslim

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel