Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Produk plastik satu daripada industri paling rancak di Malaysia - Dr Ong


Tarikh kemaskini: 15/11/2019





PETALING JAYA, 15 Nov  -- Industri produk plastik merupakan satu daripada industri paling rancak dalam sektor pembuatan Malaysia, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Dr Ong Kian Ming.

Beliau yang memetik Jabatan Perangkaan Malaysia berkata, nilai perdagangan plastik perkilangan meningkat sebanyak 3.4 peratus kepada RM19.76 bilion dalam tempoh sembilan bulan pertama 2019.

Dari Januari hingga September 2019, eksport plastik perkilangan juga meningkat 3.6 peratus kepada RM11.11 bilion, katanya.

Ong berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Persekutuan Industri Plastik ASEAN (AFPI) ke-18 (2018 - 2020) dan Forum Plastik Asia ke-29 di sini, hari ini. 

Terdahulu dalam ucapan pembukaannya, Ong berkata pada tahun lepas, 61 projek dilluluskan dengan pelaburan berjumlah RM1.86 bilion berbanding RM714.2 juta pada 2017.

“Pelaburan asing membentuk hampir dua pertiga daripada jumlah pelaburan, atau RM1.18 bilion (63.4 peratus), manakala pelaburan langsung domestik menyumbang 36.6 peratus atau RM682 juta,” katanya sambil menambah pelaburan itu telah mewujudkan 2,841 peluang pekerjaan. 

Meskipun pemain industri sentiasa mencari keuntungan tinggi dan kekukuhan dalam industri plastik, beliau berkata usaha juga perlu diambil untuk meneroka aspek kelestarian alam sekitar dan bergerak ke arah ekonomi sikular.

“Berbanding ekonomi linear ‘ambil, buat dan jual’, dalam ekonomi sirkular, sisa buangan menjadi sumber bernilai, akan dikitarkkan semula sebagai bahan mentah dan dijadikan produk baharu. 

“Manfaatnya mungkin besar; daripada pengurangan kos pembuatan dengan menggantikan bahan mentah asal, mengurangkan plastik hanya sekali penggunaan (SUP) dan menggunakan semula plastik, meningkatkan peluang pekerjaan hinggalah kepada mewujudkan alam sekitar yang lebih bersih,” katanya. 

Ong berkata kerajaan akan memastikan Malaysia tidak ketinggalan daripada potensi amat besar ini dalam ekonomi sirkular.

“Justeru itu Malaysia kini sedang bersedia ke arah kelestarian dan sedang dalam proses membangunkan Pelan Tindakan Ekonomi Sirkular  (CER) bagi plastik, termasuk botol yang akan dilancarkan pada 2020,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi AFPI dan Presiden Persatuan Pengeluar Plastik Malaysia  Datuk Lim Kok Boon berkata sektor plastik dan produk plastik ASEAN merupakan satu daripada sektor eksport utama di rantau ini, menjana hasil eksport kira-kira US$50 bilion (US$1= RM4.15) setakat ini.

“Saya ingin menarik perhatian kepada perkataan ‘pencemaran plastik’ dan bukan plastik sebagai satu produk.

“Perlu ditekankan bahawa produk plastik tidak mencemarkan alam, pembuangan sampah merata-rata dan pengurusan sisa buangan yang lemah yang menyebabkan produk plastik menjadi kebimbangan alam sekitar,” katanya.   

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Nelayan hilang ditemui lemas di Kuala Dungun pagi ini - bomba

 
     

Pekan Rantau Panjang kembali pulih

 
     

Pesta Pulau Pinang sasar 500,000 pengunjung

 
     

Malaysia perlu rebut peluang bangun pelancongan mesra Muslim

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel