Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Jangan gadai kepentingan Tanjung Piai kerana ego politik - ibu Allahyarham Md Farid


Tarikh kemaskini: 09/11/2019





Oleh Mohd Faizal Hassan

PONTIAN, 9 Nov -- Kesinambungan dan legasi pelbagai program pembangunan yang telah dirancang Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik untuk Parlimen Tanjung Piai perlu diteruskan dan tidak seharusnya terbantut sehingga menggadai kepentingan kawasan itu.

Ibu Dr Md Farid, Norma Mohamed berkata kemenangan calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Karmaine Sardini perlu direalisasikan bagi membolehkan kesinambungan program pembangunan yang dirancang selama ini.

“Ini bukan permainan, ini bukan kerja bohong, ini perkara sebenar. Ini dari kerajaan sendiri, yang ICU (Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri) yang luluskan, tiada perkara tersembunyi, bukan gula-gula tetapi kerja yang arwah buat selama ini.

“Ini hadiah dari arwah. Harap orang Tanjung Piai dapat menilai dan rasa apa yang dirancang arwah. Kalau parti lain yang tadbir,  tidak mustahil ada gangguan yang halang pembangunan di sini. Tidak pernah di sini berlaku kemajuan seperti arwah rancang.

“Walaupun arwah tidak merasa, tetapi kita boleh rasa. Kalau parti lain yang menang, adakah orang di sini akan dapat apa-apa? Ini permainan politik. Janganlah gadai Tanjung Piai demi ego politik. Menang sorak, kampung tergadai. Fikirlah baik-baik,” katanya.

Norma atau lebih mesra dipanggil Mak Ne itu berkata demikian kepada Bernama, NST dan The Star dalam temu bual eksklusif dan santai di rumahnya di Serkat, kira-kira 35 minit dari pekan Pontian baru-baru ini.

Dr Md Farid, 42, meninggal dunia kira-kira 5.30 pagi akibat serangan jantung pada 21 Sept lepas.

Allahyarham, yang juga Naib Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai, meninggalkan seorang isteri dan tiga orang anak.

Sambil menjamu tetamu dengan asam pedas ikan sembilang, Norma berkata antara yang telah dirancang anak sulungnya itu adalah membabitkan prasarana, jalan raya, lampu jalan, jeti dan dewan sekolah.

“Itu kehendak dia. Jalan raya penting untuk membangunkan industri pelancongan di kawasan ini. Dia sendiri yang meminta kerja-kerja berkaitan apa yang telah dirancang ini dipercepatkan dan diselesaikan dalam pentadbirannya.

“Dia ambil berat dan mahu ia diselesaikan dengan sempurna. Pada pemerintahan sebelum ini, tiada keistimewaan seperti ini yang telah dirancang. Cuma semua ini memerlukan masa kerana melibatkan proses tender dan kontraktor,” katanya.

Norma turut berkongsi perihal dan keperibadian arwah yang suka mendengar sendiri masalah penduduk dan tidak mahu mendengar bulat-bulat dari mulut orang lain selain cuba menyelesaikan perkara-perkara yang dibangkitkan.

Pada PRK ini, Karmaine berdepan pertandingan enam penjuru, melawan calon Barisan Nasional daripada MCA Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, calon Gerakan Wendy Subramaniam dan Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz; serta dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Hari pengundian PRK itu ditetapkan pada 16 Nov ini.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Wakil jabatan audit mengaku rakam mesyuarat "pinda laporan audit 1MDB"

 
     

Pasukan audit 1MDB terkejut dengar gugur penyata kewangan - Saksi

 
     

Johor umum bantuan khas kewangan sebulan gaji buat penjawat awam negeri

 
     

Cadang Pahang kenakan sewa tinggi kepada Lynas - ADUN Kemayan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel