Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

PH berusaha selesaikan rasa tidak puas hati semua kaum


Tarikh kemaskini: 09/11/2019





PONTIAN, 8 Nov -- Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sentiasa berusaha menyelesaikan masalah semua kaum dan rasa tidak puas hati mereka, kata Timbalan Presiden PH Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga presiden Bersatu itu berkata bagi menyelesaikannya, kerajaan bagaimanapun memerlukan sokongan rakyat untuk meneruskan peranannya itu.

“Saya tahu masyarakat Tiong Hua tak berapa puas hati. Semalam saya cakap dengan orang Melayu mereka juga beritahu rasa tak puas hati dan orang India pun turut tak puas hati,” katanya pada majlis makan malam bersama persatuan-persatuan Cina Pontian di Dewan Hai Kee di sini malam ini.

Katanya jika bercakap mengenai masalah, tidak akan ada orang yang akan rasa puas hati dengan apa keadaan sekalipun, tetapi yang penting adalah mencari jalan untuk selesaikan masalah.

“Sebab itu, saya hendak jelaskan di sini sempena hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai pada 16 Nov nanti, kita kena memikirkan supaya dapat memilih calon yang berupaya menjadi wakil rakyat dan boleh tolong kita,” katanya.

Beliau berkata jika rakyat membuat keputusan untuk memilih calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng pada pilihan raya itu, beliau percaya Wee tidak dapat membantu rakyat, kerana bukan lagi berada dalam kerajaan.

“Sebab itu, dalam PRK ini kita letakkan calon Haji Karmaine Sardini. Ini calon kita daripada PH. Walaupun beliau daripada Bersatu, dia mewakili semua parti...PKR, DAP, Amanah bermakna bergabung dalam satu,” katanya.

Katanya, dengan pemilihan Karmaine sebagai wakil rakyat, dia mampu memudahkan pelbagai urusan kerana negeri Johor dan di peringkat pusat berada di bawah pentadbiran sama.

Majlis berkenaan dihadiri kira 1,000 ahli persatuan terbabit.

PRK Tanjung Piai diadakan susulan kematian wakil rakyatnya Datuk Dr. Md Farid Md Rafik, 42, daripada PH pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung.

Pada PRK ini, calon PH berdepan pertandingan enam penjuru melawan Wee yang mewakili BN, calon Gerakan Wendy Subramaniam dan Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz; serta dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Amalan letak wanita di kelas rendah dalam organisasi kini tidak relevan

 
     

Perbicaraan kes rogol libatkan Exco Perak bersambung Februari depan

 
     

Lelaki meninggal dunia terkena renjatan elektrik ketika harung banjir

 
     

JPJ N. Sembilan kutip RM1.2 juta bidaan nombor pendaftaran NDN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel