Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kerajaan belanja RM3.3 juta bantu Orang Asli suku Batek - TPM Wan Azizah


Tarikh kemaskini: 08/11/2019





KOTA BHARU, 8 Nov  -- Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerajaan membelanjakan RM3.3 juta bagi membantu masyarakat Orang Asli suku Batek di Kuala Koh, Gua Musang yang terkesan dengan jangkitan demam campak baru-baru ini.

Jumlah itu termasuklah pembinaan Sistem Bekalan Elektrik Talian Grid berjumlah RM2 juta oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB), sistem rawatan air berkualiti tinggi bernilai RM800,000 dan RM434,000 untuk menampung pelbagai keperluan termasuk bekalan makanan mengikut syor Bahagian Pemakanan, Kementerian Kesihatan.

"Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) juga sedang menyediakan penanaman kontan bagi sayur terung dan labu sebagai sumber makanan dan punca pendapatan tambahan kepada 53 ketua isi rumah.

"Di samping itu, Jakoa telah melatih anak tempatan sebagai tenaga kerja untuk Sekolah Komuniti dan merancang menyediakan kelas jahitan untuk ibu selain Kerajaan Persekutuan dalam perancangan untuk menubuhkan Pusat Pembelajaran Alternatif (ALC) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan dan Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas)," katanya pada Perasmian Kick-Off #ANAKMALAYSIATINGGI di sini, hari ini.

Teks ucapan perasmian beliau dibacakan oleh Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Perdana Menteri Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan Dr Izani Husin, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Dr Juli Edo dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan Dr Zaini Hussin.

Wan Azizah berkata, kerajaan sedang melaksanakan Program Community Feeding bagi membantu meningkatkan taraf pemakanan kanak-kanak daripada komuniti Orang Asli.

"Saya menyokong penuh usaha Kementerian Kesihatan serta agensi lain yang berkaitan seperti Jakoa, pertubuhan bukan kerajaan, institusi pengajian tinggi serta individu dalam memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai masalah bantut dalam kalangan kanak-kanak.

"Kita harus optimis, berusaha dan sentiasa berdoa agar masalah anak bantut tidak menjadi isu nasional yang lebih serius kepada Malaysia," katanya.

Pada majlis itu, Wan Ahmad Uzir turut menyampaikan pemberian wang ehsan RM500 hingga RM5,000 kepada 68 ketua isi rumah masyarakat Orang Asli suku Batek dari Kuala Koh susulan tragedi kematian 15 orang daripada masyarakat itu akibat jangkitan demam campak baru-baru ini.

-- BERNAMA    

   

 
 
     
   
 

Wakil jabatan audit mengaku rakam mesyuarat "pinda laporan audit 1MDB"

 
     

Pasukan audit 1MDB terkejut dengar gugur penyata kewangan - Saksi

 
     

Johor umum bantuan khas kewangan sebulan gaji buat penjawat awam negeri

 
     

Cadang Pahang kenakan sewa tinggi kepada Lynas - ADUN Kemayan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel