Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kerajaan Pulau Pinang bersedia tanggung defisit jajaran LRT


Tarikh kemaskini: 08/11/2019





GEORGE TOWN, 8 Nov -- Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan menanggung perbelanjaan operasi defisit bagi jajaran Transit Aliran Ringan (LRT) Komtar-Bayan Lepas, yang juga sebahagian daripada Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, infrastruktur pengangkutan adalah perkhidmatan awam yang tidak bermotifkan keuntungan di mana hampir kesemua sistem pengangkutan rel bandar di dunia adalah perkhidmatan awam yang disubsidi oleh pihak kerajaan.

"Model transit yang berjaya seperti di Singapura bergantung kepada sokongan kerajaan untuk menyelenggara dan menaik taraf aset pengangkutan awam. Begitu juga, Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada mulanya akan menanggung perbelanjaan operasi defisit bagi jajaran LRT ini," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan dan Usul Anggaran Pembangunan 2020 pada persidangan DUN Pulau Pinang di sini, hari ini.

Chow berkata Kerajaan Negeri juga akan mengkaji dan meneliti model operasi pengangkutan awam yang lestari dan model pembiayaan yang sesuai bagi perbelanjaan modal (CAPEX) dan perbelanjaan operasi (OPEX) LRT.

"Ini adalah untuk memastikan perkhidmatan LRT dapat menyediakan servis yang berkualiti dan aset-asetnya diselenggara serta diuruskan dengan baik, efisien dan selamat," katanya.

Beliau juga berkata, sistem LRT ini akan diwujudkan dalam satu pelan pembangunan yang berorientasikan pengangkutan untuk memastikan hasil kutipannya boleh menampung kos operasi, selain dari penjualan tiket.

Unjuran penumpang LRT Bayan Lepas seramai 42 juta adalah selaras dengan matlamat Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk mencapai nisbah modal 40:60, bagi penggunaan pengangkutan awam dan penggunaan kenderaan persendirian menjelang tahun 2030.

"Matlamat ini akan tercapai sekiranya langkah-langkah sewajarnya diperkenalkan semasa operasi dalam menggalakkan pengunaan pengangkutan awam," katanya.

Projek LRT akan meliputi 29.9 km laluan rel dan 27 stesen, dari Komtar ke Bayan Lepas melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan tiga lagi kawasan membabitkan pulau-pulau tebus guna di selatan Pulau Pinang dengan anggaran kos RM8 bilion.

Chow turut mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri telah memutuskan untuk tidak meneruskan bayaran bagi Program Pelajar Emas di bawah Program i-Sejahtera bagi tahun 2019.

Beliau berkata berdasarkan kajian yang dilakukan, Kerajaan Negeri mendapati bayaran Program Pelajar Emas adalah bertindih dengan bantuan yang diterima daripada Kerajaan Persekutuan iaitu Bantuan Awal Persekolahan, Bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) dan Program Rancangan Makanan Tambahan (RMT).

"Keputusan itu selepas mengambilkira golongan sasar ini telahpun menerima bantuan daripada Kerajaan Persekutuan. Bagaimanapun, perkara ini akan dikaji oleh Kerajaan Negeri dari semasa ke semasa untuk memastikan kebajikan pelajar sekolah di Pulau Pinang sentiasa terpelihara," katanya.

Program Pelajar Emas ini adalah program bantuan RM100 yang diberikan kepada murid darjah satu dan empat untuk sekolah rendah, dan tingkatan satu dan empat untuk sekolah menengah di Pulau Pinang.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Wakil jabatan audit mengaku rakam mesyuarat "pinda laporan audit 1MDB"

 
     

Pasukan audit 1MDB terkejut dengar gugur penyata kewangan - Saksi

 
     

Johor umum bantuan khas kewangan sebulan gaji buat penjawat awam negeri

 
     

Cadang Pahang kenakan sewa tinggi kepada Lynas - ADUN Kemayan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel