Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tiga puluh dua ADUN Perak belum isytihar harta


Tarikh kemaskini: 08/11/2019





IPOH, 8 Nov -- Seramai 27 daripada 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Perak telah menghantar borang pengisytiharan harta masing-masing untuk diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sehubungan itu, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Datuk Ngeh Koo Ham meminta semua 32 ADUN yang belum berbuat demikian supaya dapat melaksanakannya secepat mungkin bagi mengelak daripada dikenakan tindakan kerana usul yang diluluskan di peringkat DUN tidak boleh diendahkan.

"Bagaimanapun, saya enggan mendedahkan nama mereka yang masih belum menyerahkannya dan saya akan menghubungi pihak SPRM untuk menetapkan tarikh akhir penghantaran borang berkenaan," katanya pada sidang media di sini, hari ini. 

Pada 23 Julai lepas, DUN Perak mencatat sejarah apabila menjadi yang pertama di negara ini mewajibkan semua 59 ADUN mengisytiharkan harta mereka dan ahli keluarga terdekat iaitu suami, isteri atau anak dalam akaun berkanun dalam tempoh tiga bulan atau tarikh akhir 23 Okt lepas.

Perak mempunyai 59 ADUN dengan 30 daripadanya adalah Pakatan Harapan terdiri daripada DAP (18), Amanah (6), PKR (4) dan Bersatu (2) manakala BN (25), PAS (3) serta Bebas (1).

Menurut Ngeh, pihaknya akan menghantar semua pengisytiharan harta yang telah diterima kepada SPRM sebelum 15 Nov untuk dipaparkan dalam portal SPRM.

"Diharapkan mereka yang belum melengkapkan borang itu supaya menghantarkannya serta merta bagi menunjukkan ketelusan dan pendapatan ADUN diperoleh daripada sumber yang halal serta tiada unsur rasuah atau salah guna kuasa," katanya.

Katanya, borang pengisytiharan harta kesemua ADUN sama ada pihak kerajaan dan pembangkang perlu dihantar sebanyak dua salinan kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM dan beliau sendiri untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Ngeh berkata Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua DUN Perak Ke-14 akan diadakan bermula 15 Nov dengan pembentangan Belanjawan negeri 2020 sebelum persidangan disambung pada 18 hingga 22 Nov ini.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Wakil jabatan audit mengaku rakam mesyuarat "pinda laporan audit 1MDB"

 
     

Pasukan audit 1MDB terkejut dengar gugur penyata kewangan - Saksi

 
     

Johor umum bantuan khas kewangan sebulan gaji buat penjawat awam negeri

 
     

Cadang Pahang kenakan sewa tinggi kepada Lynas - ADUN Kemayan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel