Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kemalangan maut Bayan Lepas: Pemandu bas positif dadah, tiada lesen memandu


Tarikh kemaskini: 08/11/2019





BALIK PULAU, 8 Nov  -- Ujian air kencing pemandu bas persiaran yang merempuh empat kenderaan sehingga menyebabkan seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan di simpang empat  lampu isyarat Setia Triangle Bayan Lepas, dekat sini semalam mendapati lelaki itu positif dadah.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt A.A Anbalagan berkata lelaki berumur 49 tahun itu positif dadah jenis methamphetamine malah pemeriksaan juga mendapati pemandu tersebut tidak mempunyai lesen memandu.

"Selain positif dadah, pemandu itu juga tidak mempunyai lesen memandu dan polis akan mendapatkan maklumat lanjut daripada pemilik bas tersebut bagaimana lelaki terbabit dibenarkan memandu kenderaan berkenaan.

"Pemandu bas itu kini direman selama dua hari bagi membantu siasatan berhubung kemalangan tersebut dan siasatan dijalankan menurut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya di sini hari ini.

Katanya pemandu bas itu mendakwa bas tersebut hilang kawalan selepas mengalami masalah brek sebelum terlibat dalam kemalangan dan polis masih menjalankan siasatan lanjut.

Seorang penunggang motosikal maut manakala dua lagi mengalami kecederaan parah selepas kenderaan mereka dirempuh sebuah bas persiaran dalam kemalangan di simpang empat lampu isyarat Setia Triangle Bayan Lepas, dekat sini.

Dalam kemalangan kira-kira pukul 6.30 petang itu, penunggang motosikal, Muhammad Saifullah Muhammad Hafeiz, 16, yang merupakan pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Sungai Ara meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Sementara itu, suasana pilu dan suram mengiringi pengebumian jenazah Muhammad Saifullah di Tanah Perkuburan Islam Bayan Lepas, dekat sini yang turut dihadiri lebih 100 orang termasuk anggota keluarga, rakan sekolah, guru dan kenalan arwah.

Ibu Muhammad Saifullah, Siti Hajar Ghazali, 38, yang ditemui berkata beliau sehingga sekarang masih tidak percaya anak sulung daripada tujuh beradik itu telah pergi untuk selama-lamanya namun mereka sekeluarga reda dengan kematian anaknya dalam kemalangan tersebut.

Katanya arwah seorang anak yang baik dan banyak membantu keluarga kerana sanggup bekerja sambilan sebagai penghantar pizza dengan sebuah restoran makanan segera sejak Mei lepas bagi menampung pendapatan mereka.

"Semalam, arwah yang mesra dipanggil Chaq keluar bekerja kira-kira 3 petang dan saya ada di rumah ketika itu, saya juga ada masakkan makanan kegemaran dia iaitu bihun sup tapi Chaq tidak sempat makan kerana mahu ke tempat kerjanya," katanya.

Terdahulu, sejak semalam tular luahan Siti Hajar dalam laman sosial Facebook wanita itu terhadap arwah anaknya yang disifatkan sebagai nyawa dan sahabatnya serta seorang anak yang baik.

"Perginya putera sulung ummi Muhammad Saifullah kepada penciptanya, ummi tak kuat Chaq... Chaq la nyawa ummi, Chaq la yang ajar ummi macam mana nak jadi seorang ibu...terima kasih jadi anak yang baik untuk ummi, jadi sahabat ummi.

"Walaupun ada masa Chaq tak larat tetap buat apa yang ummi suruh, tidur la sayang ummi rehat la sepuas-puasnya...tunggu ummi, abah dengan adik kat sana na, ummi reda dengan ketentuan Allah...Allah pinjamkan chaq kat ummi sat ja (sekejap sahaja), 16 tahun 5 bulan," kata wanita yang bekerja sebagai polis bantuan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang itu.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Wakil jabatan audit mengaku rakam mesyuarat "pinda laporan audit 1MDB"

 
     

Pasukan audit 1MDB terkejut dengar gugur penyata kewangan - Saksi

 
     

Johor umum bantuan khas kewangan sebulan gaji buat penjawat awam negeri

 
     

Cadang Pahang kenakan sewa tinggi kepada Lynas - ADUN Kemayan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel