Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sabah wartakan 90 kampung dalam kawasan hutan simpan


Tarikh kemaskini: 08/11/2019





PENAMPANG, 8 Nov -- Kerajaan Negeri bersetuju mewartakan 90 kampung di negeri ini yang termasuk dalam kawasan Hutan Simpan, demikian menurut Menteri Pembangunan Luar bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick.

Menurut beliau keputusan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Kabinet Negeri pada dua hari lepas yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Katanya ia sejajar dengan pendirian Kerajaan Negeri diterajui Mohd Shafie bahawa terdapat keperluan untuk mewartakan kampung yang sudah sekian lama dalam kawasan hutan simpan atau konsesi syarikat  Kerajaan Negeri Sabah.

"Perkara ini dibincang pada mesyuarat kabinet negeri dua hari lepas dan bersetuju sebanyak 90 kampung seluruh Sabah diwartakan dalam kawasan Hutan Simpan.

"Ini keputusan kabinet negeri yang pertama mewartakan jumlah kampung yang banyak yang sudah wujud lama dalam kawasan Hutan Simpan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Persatuan Pelancongan, Homestay dan Produk Kampung Kibunut Penampang dekat sini, hari ini.

Keputusan itu susulan keperihatinan Ketua Menteri dan jemaah menteri dalam membela rakyat yang sudah sekian lama menuntut tanah kampung yang terletak dalam kawasan Hutan Simpan di negeri ini.

Antara kampung berkenaan ialah daerah Kota Belud, Tamparuli, Tuaran, Tenom, Lahad Datu, Beluran dan Pulau Banggi.

Dalam perkembangan lain, Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kadamaian berkata kabinet negeri juga bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Khas Mengenai Pelancongan Luar Bandar yang dianggotai oleh kementeriannya dan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar.

Beliau berkata, jawatankuasa khas itu ditubuhkan untuk memperhalusi hal-hal berkaitan polisi, keperluan infrastruktur dan program membabitkan promosi serta pemasaran bagi membantu pengusaha pelancongan luar bandar melonjakkan produk mereka.

Menurutnya mesyuarat jawatankuasa itu nanti yang akan dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew akan mengemukakan syor dasar kepada Kabinet Negeri untuk dimuktamadkan sebelum dijadikan peraturan oleh agensi terlibat seperti pihak berkuasa tempatan dan pengusaha itu sendiri.

"Pada masa sekarang tiada polisi atau dasar khas boleh diguna sebagai panduan bagi tujuan pelesenan dan pembangunan khas untuk pelancongan luar bandar seperti keperluan infrastruktur jalan raya, keselamatan dan pengurusan sisa pepejal," kata Ewon.

Selepas mesyuarat yang diadakan dalam masa terdekat ini, syor itu akan dikemukakan kepada kabinet negeri untuk dilaksanakan pada tahun hadapan.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Wakil jabatan audit mengaku rakam mesyuarat "pinda laporan audit 1MDB"

 
     

Pasukan audit 1MDB terkejut dengar gugur penyata kewangan - Saksi

 
     

Johor umum bantuan khas kewangan sebulan gaji buat penjawat awam negeri

 
     

Cadang Pahang kenakan sewa tinggi kepada Lynas - ADUN Kemayan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel