Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kanak-kanak berusia lima tahun mangsa terbaharu rabies


Tarikh kemaskini: 08/11/2019





KUCHING, 8 Nov-- Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan seorang kanak-kanak berusia lima tahun dari Kampung Mambong, Jalan Penrissen menjadi mangsa terbaharu akibat jangkitan wabak rabies.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kanak-kanak tersebut meninggal dunia pada Sabtu lepas semasa menjalani rawatan rapi di Hospital Umum Sarawak (HUS).

“Sampel untuk ujian rabies yang telah dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah disahkan positif rabies pada 6 Nov 2019. KKM mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kanak-kanak tersebut kelihatan tidak aktif sejak 13 Okt 2019 dan mengadu sakit tekak manakala pada 15 Okt 2019, beliau mengalami demam dan berkelakuan luar daripada kebiasaan, seterusnya dibawa ke klinik swasta untuk pemeriksaan.

“Keadaan beliau bertambah teruk dan dibawa pula ke Klinik Kesihatan pada 18 Oktober 2019 dan dirawat sebagai pesakit luar dengan diagnosis ‘Upper Respiratory Tract Infection’ (URTI). Pada 21 Okt 2019, beliau telah dibawa ke HUS apabila keadaannya semakin lemah.

“Keluarga mendiang mempunyai dua ekor anjing peliharaan di rumah. Kedua-dua haiwan ini tidak pernah mendapat vaksinasi anti-rabies dan mendiang juga tidak pernah mengadu digigit anjing atau haiwan lain,” katanya lagi.

Dengan pengesahan kes ini, kes disahkan rabies dalam kalangan manusia di Sarawak semenjak pengisytiharan wabak rabies pada 1 Jul 2017 sehingga 6 Nov 2019 adalah 22 kes termasuk 21 kematian manakala enam daripada kes tersebut berlaku pada tahun 2019.

Perkhidmatan Veterinar Sarawak pernah melaporkan bahawa bagi setiap lima ekor anjing di Sarawak, dua daripadanya adalah positif virus rabies. Maka langkah pencegahan perlu sentiasa diamalkan.

KKM juga menggesa Ibu bapa untuk menasihatkan anak-anak supaya berwaspada dan segera memaklumkan sekiranya digigit atau dicakar atau luka dijilat oleh anjing.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Wakil jabatan audit mengaku rakam mesyuarat "pinda laporan audit 1MDB"

 
     

Pasukan audit 1MDB terkejut dengar gugur penyata kewangan - Saksi

 
     

Johor umum bantuan khas kewangan sebulan gaji buat penjawat awam negeri

 
     

Cadang Pahang kenakan sewa tinggi kepada Lynas - ADUN Kemayan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel