Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Galleria Artisan medan usahawan kraftangan Sabah pasarkan produk


Tarikh kemaskini: 08/11/2019





KOTA KINABALU, 8 Nov -- Galleria Artisan, milik Kumpulan Yayasan Sabah, menjadi medan kepada usahawan kraftangan di negeri ini memasarkan produk mereka sekali gus membantu meningkatkan lagi pendapatan golongan itu.

Galeri yang terletak di aras bawah, blok A, bangunan Pusat Pentadbiran Negeri Sabah itu turut berperanan sebagai pusat sehenti bagi mengumpul, mempamerkan serta menjual pelbagai produk kraftangan termasuk batik dan lukisan berkualiti tinggi hasil sentuhan usahawan tempatan seluruh negeri ini.

Pengurus Kristal Handal Sdn Bhd, Nuratiqah Sabrin berkata produk kraftangan dipamerkan dan dipasarkan di galeri berkenaan mempunyai keunikan serta nilai estetika tersendiri yang menerapkan inspirasi serta motif masyarakat pelbagai etnik di Sabah.

Beliau berkata produk kraftangan dipasarkan di galeri itu juga sangat eksklusif dan menitikberatkan kualiti yang pastinya memberi kepuasan kepada pengunjung yang terdiri daripada penduduk tempatan dan pelancong luar negara.

“Kita boleh lihat hasil tangan orang Sabah yang berunsurkan etnik seperti Murut, Dusun dan Rungus. Buat masa ini terdapat lebih 100 usahawan memasarkan produk kraftangan mereka di galeri ini, ” katanya kepada Bernama, di sini.

Galeri berkeluasan 704.2 meter persegi yang diubah suai pada kos RM2 juta daripada Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) itu dibahagikan kepada tiga bahagian utama iaitu hasil kraftangan, batik serta lukisan.

Galleria Artisan yang dikendalikan syarikat Kristal Handal itu beroperasi pada Isnin hingga Jumaat mulai 8 pagi hingga 5 petang.

Nuratiqah berkata pengunjung pastinya akan berasa teruja apabila masuk ke galeri itu kerana selain tema hiasan dalaman yang menarik, terdapat pelbagai pilihan produk dan pengunjung pastinya tidak akan pulang dengan tangan kosong kerana kesemua kraftangan berkenaan dijual pada harga berpatutan.

Galeri tersebut turut menyediakan ruang pembuatan kraf bagi memberi peluang kepada pengunjung melihat secara langsung kemahiran usahawan tempatan membuat kraftangan dan melukis, katanya.

Sementara itu, Nurina Tawa, 37, usahawan dari Matunggong, Kudat berkata Galleria Artisan adalah platform bagi meningkatkan lagi penjualan produk kraftangannya seperti gasing diinovasikan daripada gubahan anyaman ribu-ribu dan pasu.

“Sebagai suri rumah, hanya menerusi perusahaan kraftangan ini sahaja yang mampu membantu menambah ekonomi keluarga selain membangunkan potensi diri,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Wakil jabatan audit mengaku rakam mesyuarat "pinda laporan audit 1MDB"

 
     

Pasukan audit 1MDB terkejut dengar gugur penyata kewangan - Saksi

 
     

Johor umum bantuan khas kewangan sebulan gaji buat penjawat awam negeri

 
     

Cadang Pahang kenakan sewa tinggi kepada Lynas - ADUN Kemayan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel