Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tiada kebocoran radioaktif di terminal Pos Aviation KLIA - bomba


Tarikh kemaskini: 07/11/2019





SEPANG, 7 Nov -- Kegemparan berlakunya kebocoran radioaktif di terminal Pos Aviation di kawasan KLIA Cargo Village hari ini, akhirnya diperjelaskan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bahawa sebenarnya tidak berlaku sebarang kebocoran radioaktif di terminal itu di sini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Selangor Hafisham Mohd Noor berkata pemeriksaan pihaknya bersama Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) mendapati hanya berlaku kebasahan di bahagian bawah kotak, yang mengandungi kandungan Iridium 192 Metal Solid, bahan radioaktif yang digunakan bagi tujuan perubatan.

JBPM  menerima panggilan kecemasan pada 10.42 pagi di mana dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat KLIA bersama pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) dikerahkan ke lokasi.

Hafisham berkata JBPM turut memanggil AELB setelah mendapat panggilan berkaitan radioaktif bagi menangani kemungkinan berlaku kebocoran radioaktif pada satu daripada dua kotak bahan perubatan tersebut.

"Setelah diperiksa dengan terperinci, pihak AELB mengesahkan tiada sebarang kebocoran dan kesan basah di bawah kotak tersebut mungkin disebabkan unsur lain, bukannya radioaktif," katanya kepada pemberita yang berkumpul di hadapan kawasan KLIA Cargo Village.

Insiden kebocoran radioaktif yang menyebabkan kakitangannya mengosongkan bangunan dan menghentikan sementara operasinya disahkan Pos Aviation, pengendali perkhidmatan logistik darat, dalam satu kenyataan hari ini.

Hafisham berkata kawasan tersebut diisytiharkan selamat pada 3.30 petang, setelah pemeriksaan rapi dijalankan dan kesemua 40 pekerja dibenarkan kembali bertugas.

Bagaimanapun kawasan tempat kotak itu ditempatkan masih ditutup untuk pemeriksaan lanjut sebelum kotak yang mengandungi bahan radioaktif itu diambil semula oleh syarikat yang menghantar barangan tersebut, katanya.

Hafisham memuji keprihatinan tiga petugas Pos Aviation yang peka dengan perubahan pada kotak bahan radioaktif itu, yang melaporkan kepada JBPM untuk tindakan lanjut. 

"Untuk langkah pencegahan, ketiga-tiga mereka ini diletakkan di bawah pengawasan pihak Kementerian Kesihatan bagi memastikan mereka tidak terdedah kepada sebarang kesan sampingan," katanya.

Berkenaan punca basahan tersebut, Hafisham berkata ia tidak mungkin disebabkan air hujan kerana kawasan tersebut tertutup dan dikawal rapi. 

Dalam satu kenyataan, Pos Malaysia Berhad berkata pakej kargo tersebut telah didapati kemik ketika di terima dan kemudiannya terus diletakkan di Bilik Barangan Merbahaya.

Ia berkata, Bangunan Terminal Kargo Pos Aviation di KLIA kemudiannya diarahkan untuk memberhentikan operasinya dan 211 kakitangannya telah di arahkan untuk mengosongkannya.

Pasukan JBPM, Hazmat dan juga AELB kemudiannya telah menjalankan pemeriksaan dan memastikan bangunan itu bebas dari radiasi dan operasi telah dimulakan semula.

Kenyataan itu juga berkata, barangan tersebut telah diasingkan dan dikuarantinkan seperti prosedur operasi standard yang diamalkan Pos Malaysua dan kesemua kakitangan yang dikuarantinkan telah dibenarkan untuk kembali bekerja.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

KV Keningau raih pingat perak pada pertandingan inovasi di Singapura

 
     

Kerajaan negeri Perak bangunkan projek pembangunan koridor persaraan

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Melaka turun RM3.6 juta tahun lepas

 
     

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel