Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Polis Pahang tumpaskan Geng Li Serama


Tarikh kemaskini: 07/11/2019





TEMERLOH, 7 Nov -- Polis Pahang menumpaskan 'Geng Li Serama' yang disyaki aktif dalam kegiatan samun dan pengedaran dadah sekitar Pahang sejak beberapa bulan lalu, dengan penahanan empat lelaki di Jalan Triang, Bera dekat sini, Sabtu lalu.

Timbalan Ketua Polis Pahang Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata suspek terdiri daripada tiga warga Indonesia berusia antara 30 hingga 35 tahun yang diketuai lelaki dari daerah ini berumur 47 tahun, ditahan sekitar 10 pagi, selepas berlaku pergelutan dengan polis, kerana cuba melarikan diri.

"Suspek dipercayai memecah masuk rumah mangsa pada awal pagi, semasa mangsa nyenyak tidur dengan bersenjatakan parang, kayu dan pemotong besi. Malah pernah dilaporkan salah seorang mangsa diikat dan dicederakan, sebelum mereka menggeledah rumahnya. 

"Kita percaya mereka ialah suspek dalam tiga kes samun berkumpulan yang dilaporkan di Temerloh dan satu kes di Kuantan, yang keseluruhannya melibatkan kerugian RM31,300," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Datuk Othman Nayan dan Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Mohd Yusri Othman.

Mohd Yusri berkata penahanan suspek juga membawa kepada serbuan sebuah rumah di Taman Perindustrian Seberang Temerloh di sini pada Isnin lalu, yang menemui pelbagai jenis dadah, termasuk dua kilogram heroin, 600 gram syabu dan 284 biji pil kuda yang dianggarkan bernilai RM145,000.

Walaupun kumpulan itu baru aktif beberapa bulan lalu, Mohd Yusri berkata polis percaya mereka telah terlibat dengan kegiatan jenayah sejak tahun 2015, kerana semua mereka mempunyai rekod kesalahan lampau dadah dan pernah dipenjarakan kerana kesalahan samun. 

"Polis juga merampas pelbagai barangan dipercayai milik mangsa samun seperti barang kemas, telefon bimbit dan jam tangan selain senjata serta dua kereta termasuk sebuah kereta mewah iaitu BMW dan Honda City yang digunakan suspek," katanya.  

Mohd Yusri berkata semua suspek kini direman sehingga Sabtu ini, bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu melakukan rompakan bersenjata berkumpulan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan. 

Selain itu, mereka juga disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi kesalahan dadah, yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum mati mandatori. 

-- BERNAMA 


 

   

 
 
     
   
 

Wakil jabatan audit mengaku rakam mesyuarat "pinda laporan audit 1MDB"

 
     

Pasukan audit 1MDB terkejut dengar gugur penyata kewangan - Saksi

 
     

Johor umum bantuan khas kewangan sebulan gaji buat penjawat awam negeri

 
     

Cadang Pahang kenakan sewa tinggi kepada Lynas - ADUN Kemayan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel