Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Dekati dan bantu budak basikal lajak, mungkin mereka juara masa depan


Tarikh kemaskini: 07/11/2019





Eksklusif oleh Zalina Maizan Ngah

KUALA TERENGGANU, 7 Nov -- Ramai jaguh sukan berbasikal tanah air termasuk Azizulhasni Awang, Anuar Manan dan Mohd Harrif Saleh, lahir daripada 'geng basikal nyamuk' atau basikal lajak dan meskipun hakikat itu 'tidak manis' dikenang, tetapi sejarah permulaan jaguh-jaguh tersebut di era kanak-kanak, wajar diteliti dan diperhalusi.

Nasiruddin Wan Idrus, 53, yang menjadi pencari bakat dan insan bertanggungjawab membawa kelompok 'geng basikal nyamuk' ke persada antarabangsa berkata kesemua mereka terbentuk, daripada kegilaan terhadap basikal dan keberanian luar biasa.

Namun di sebalik semua itu, wujud 'kebodohan’ ekoran usia yang masih muda, tiada yang membantu, serta tidak tahu akibat daripada perbuatan yang mampu meragut nyawa dan mengundang masalah sosial terutama ponteng sekolah.

"Saya mula tekad mengubah 'geng basikal nyamuk' ini apabila melihat beribu kanak-kanak berkumpul di sekitar bandar Kuala Terengganu pada sambutan malam merdeka tahun 2000. Masa tu Anuar, Harrif dan abangnya Zamri masih kanak-kanak dan remaja.

"Saya mula sedar bahawa mereka perlukan bimbingan dan program. Saya dekati Anuar dan rakan-rakannya dalam 50 orang apabila mereka kerap kali ke kedai basikal milik saya di Batu Buruk. Daripada borak-borak biasa, akhirnya saya ajak mereka meronda dengan basikal setiap petang selepas waktu asar,'’ katanya ketika ditemubual Bernama di sini hari ini.

Nama 'basikal nyamuk' muncul secara tidak sengaja oleh kelompok tersebut, berikutan aktiviti mereka yang dilakukan pada waktu malam dan bunyi kayuhan mereka seakan-akan nyamuk beterbangan.

Nasiruddin, yang juga bekas pelumba basikal negeri Terengganu sekitar 1979 hingga 1991 berkata beliau mengambil masa lapan bulan untuk merapati kumpulan tersebut, dengan cara berkayuh dari Kuala Terengganu ke Marang, dan mula mengenal siapa ibu bapa serta bagaimana mereka bergerak dalam kumpulan setiap malam.

Bermula dari kedai basikal itu, beliau mengumpul dana sumbangan orang perseorangan, malah kanak-kanak yang terlibat turut lakukan kutipan setiap minggu sebanyak RM2 seorang, sebagai duit tabung untuk mereka gunakan, apabila lakukan latihan dan program.

"Saya tawarkan diri untuk membantu dan latih serta bagi sokongan material. Selepas lapan bulan datang idea untuk buat litar lumba. Litar pertama dibuat sekitar Gong Badak dan dari situ ramai datang membantu untuk perbesarkan lagi program.

"Selepas bermula di Kuala Terengganu, kita juga buat di daerah lain...bila kita buat perlumbaan di Dungun, hampir 200 'geng basikal nyamuk' ini sanggup berkayuh sejauh 80 kilometer dari Kuala Terengganu ke Dungun. Masa inilah muncul Azizulhasni yang digilap oleh arwah Rozimie Omar dan kumpulan dari Dungun,” katanya yang kini merupakan Ketua Pegawai Operasi (COO) Terengganu Inc Tsg Cycling Team (TSG).

Ketika ditanya, apakah yang membuatkan beliau begitu bersungguh-sungguh membina jati diri dan membawa jaguh-jaguh tersebut ke landasan betul, Nasiruddin berkata: "Apabila mula kenal Zamri dan Harrif, saya ke rumah mereka. Saat itulah saya lihat bagaimana sukarnya kehidupan mereka yang merupakan anak yatim.

"Zaman kanak-kanak mereka hidup dalam kemiskinan dan kesukaran. Apabila saya tengok mereka berbakat dalam berbasikal, saya tanam azam supaya 'kesukaan'’ (basikal) mereka itu akan mengubah masa depan. Syukurlah saya berpeluang lihat banyak perkara baik yang berlaku dalam hidup mereka sekeluarga. Ramai lagi pelumba-pelumba ini dari keluarga susah”, katanya.

Tambah Nasiruddin, menerusi pertandingan yang dilakukan, pelumba tersebut akan diberi hadiah wang tunai RM10 hinggalah RM50, namun ia bukanlah menjadi matlamat utama, kerana kebanyakan kanak-kanak itu hanya mahu berseronok dan bersaing sesama sendiri dan bersyukur sepanjang program sejak 2001 itu, tiada kejadian tidak diingini berlaku.

Menyentuh mengenai gejala basikal lajak yang makin memuncak di beberapa negeri lain, Nasiruddin berkata ia perlukan sokongan semua pihak dan mencegah dengan cara memahami serta lakukan pendekatan secara sistematik adalah lebih baik.

Katanya, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan badan bukan kerajaan (NGO) boleh ambil peranan dalam memulihkan keadaan serta tidak membiarkan kanak-kanak tersebut hilang arah sedangkan mereka boleh dibentuk sekiranya diberi pendedahan yang betul.

"Ramai yang beri tumpuan kepada program sukan tetapi tidak banyak yang melibatkan mereka dari peringkat seawal usia lapan tahun. Jadi kena lakukan sesuatu demi masa depan mereka. Aktiviti basikal lajak ini memang berbahaya.

"Janganlah sekadar menyekat tetapi kita bantulah generasi muda ini.Bantulah mereka dengan memberi ilmu dan tunjuk ajar supaya mereka menjadi hero suatu hari nanti,” katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     

Beruang matahari diselamatkan dari rumah panjang di Betong

 
     

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel