Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

MAQIS Kelantan rampas ketam bulu daripada suami isteri warga China


Tarikh kemaskini: 07/11/2019





KOTA BHARU, 7 Nov -- Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) berjaya mematahkan cubaan membawa masuk 20 ekor ketam bulu yang masih hidup seberat lima kilogram (kg), tanpa sebarang dokumen sah di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di sini, kelmarin.

Pengarah MAQIS Kelantan, Mohd Azam Yahya berkata, rampasan dilakukan selepas pihaknya menjalankan pemeriksaan terhadap dua warganegara China, yang baru tiba di balai ketibaan (LTSIP) kira-kira pukul 5.50 petang, yang sebelum itu transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur daripada negara China.

"Hasil pemeriksaan ke atas pasangan suami isteri tersebut mendapati mereka membawa dua kotak ais berwarna putih yang mengandungi 20 ekor ketam hidup yang dianggarkan bernilai RM300.

Kotak berkenaan ketika dijumpai diletakkan di dalam dua bagasi yang berasingan dan ketam itu dipercayai dibawa masuk sama ada untuk kegunaannya sendiri atau tujuan pembiakan.

Ketam tersebut dirampas kerana tiada sebarang dokumen yang sah, seperti permit import yang dikeluarkan Jabatan MAQIS dan sijil kesihatan daripada negara asal," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, tindakan mengimport apa-apa jenis keluaran pertanian tanpa permit import sah daripada MAQIS, merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 11(3) Akta yang sama.

"Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Mohd Azam berkata, pihaknya sentiasa mengambil langkah serius dan tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasa, bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan serta jaminan keselamatan makanan terpelihara.

Katanya, MAQIS sentiasa komited menjalankan penguatkuasaan di pintu masuk negara ini.

"Langkah ini bagi menjamin keselamatan keluaran pertanian yang masuk ke dalam negara dan mematuhi syarat serta peraturan ditetapkan oleh kerajaan," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     

Beruang matahari diselamatkan dari rumah panjang di Betong

 
     

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel