Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Loji Rawatan Air Langat 2 fasa satu dan dua dijadual operasi Januari depan


Tarikh kemaskini: 07/11/2019





SHAH ALAM, 7 Nov  -- Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 fasa satu dan dua dijadual memulakan operasinya pada Januari 2020, kata Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Izham Hashim.

Beliau berkata dengan pengoperasian kedua-dua fasa LRA Langat 2 tersebut, ia dijangka mampu meningkatkan lagi jumlah rizab air di Selangor memandangkan keupayaannya menghasilkan 565 juta liter air sehari (JLH).

Tambah beliau, ketika ini, LRA Langat 2 fasa satu dan dua masih dalam proses percubaan bagi memastikan ia mampu memenuhi permintaan bekalan air di Lembah Klang.

“Untuk permulaan pengoperasiannya pada Januari, LRA Langat 2 fasa satu dan dua akan menghasilkan 325 JLH. Kemudian pada Mac pula, sebanyak 240 JLH lagi akan dihasilkan oleh kedua-dua fasa tersebut menjadikan jumlah keseluruhan bekalan air yang mampu disalurkan LRA Langat 2 adalah 565 JLH,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini, hari ini.

Tambah beliau lagi, pembinaan LRA Langat membabitkan banyak peringkat bagaimanapun buat masa ini, LRA Langat 2 fasa satu dan dua sudah siap serta sedia untuk beroperasi.

Ketika ditanya sama ada LRA Langat 2 mampu mengatasi isu gangguan bekalan air yang kerap berlaku di Lembah Klang, Izham berkata, kebanyakan masalah berkenaan berpunca daripada kecuaian manusia.

“Bukan sebab bekalan (air) tidak cukup, jika kita lihat, gangguan bekalan air berlaku akibat pencemaran sungai dan ada juga kerana paip pecah akibat kecuaian ketika menjalankan kerja,” katanya.

LRA Langat 2 mula dibina pada 2014 bagi memenuhi permintaan tinggi bekalan air di Lembah Klang susulan pembangunan pesat di lokasi berkenaan.

Pembinaan loji yang menelan kos RM8 bilion itu juga dibina dengan tujuan untuk mengelakkan krisis air yang dijangka berlaku tahun depan memandangkan ia berupaya membekalkan 1,130 JLH air apabila siap sepenuhnya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

KV Keningau raih pingat perak pada pertandingan inovasi di Singapura

 
     

Kerajaan negeri Perak bangunkan projek pembangunan koridor persaraan

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Melaka turun RM3.6 juta tahun lepas

 
     

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel