Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Selangor warta tujuh empangan dan 413 sungai


Tarikh kemaskini: 07/11/2019





SHAH ALAM, 7 Nov -- Sebanyak tujuh empangan dan 413 sungai di Selangor telah diwartakan di bawah Seksyen 48 Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) 1999, demikian persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor diberitahu hari ini.

Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Hee Loy Sian berkata perwartaan berkenaan adalah bagi melindungi sungai dan rizab sungai daripada sebarang ‘gangguan’ kepada kuantiti, kualiti dan persekitarannya.

“Di samping itu, LUAS dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) juga telah membangunkan beberapa stesen telemetri kualiti air di hulu sungai dari muka sauk sebagai sistem amaran awal sekiranya berlaku sebarang pencemaran,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Mohd Shamsudin Lias (BN-Sungai Burong) berhubung langkah kerajaan negeri untuk mengelakkan pencemaran sungai berulang pada masa hadapan.

Tambah Hee, kerajaan negeri melalui LUAS turut menubuhkan Jawatankuasa Pemuliharaan Sungai-sungai Negeri Selangor bagi mempergiatkan usaha dan menggalakkan penglibatan agensi, komuniti, badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak berkepentingan dalam pemuliharaan sungai.

“Pemantauan berkala dilaksanakan oleh LUAS bersama agensi berkaitan bagi memastikan sumber air dan kawasan tadahannya terpelihara.

“Penguatkuasaan bersepadu dan tindakan perundangan juga sentiasa dilaksanakan melibatkan siasatan, notis dan pengeluaran kompaun termasuk pendakwaan di mahkamah,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya juga telah menghantar surat kepada Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) pada 1 Oktober lepas bagi mencadangkan penambahbaikan terhadap Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekitar Sekeliling berkaitan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

KV Keningau raih pingat perak pada pertandingan inovasi di Singapura

 
     

Kerajaan negeri Perak bangunkan projek pembangunan koridor persaraan

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Melaka turun RM3.6 juta tahun lepas

 
     

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel