Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Penduduk Kelantan jangan pandang ringan banjir musim tengkujuh


Tarikh kemaskini: 06/11/2019





KOTA BHARU, 6 Nov -- Penduduk Kelantan yang sudah menjadi kebiasaan  menghadapi  banjir saban tahun setiap kali musim tengkujuh diingatkan supaya jangan memandang ringan fenomena itu dengan menjadikannya ‘pesta main air’ sehingga mengabaikan aspek keselamatan dan kesihatan. 

Sehubungan itu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan menasihati penduduk yang terlibat banjir dan diarahkan supaya berpindah oleh pihak berkuasa supaya segera berbuat demikian tanpa memberikan sebarang alasan.

Pengarahnya, Penolong Pesuruhjaya Bomba Md Salleh Sarbini berkata penduduk perlu sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa manakala ibu bapa hendaklah  memantau pergerakan anak masing-masing dan melarang mereka menjadikan banjir sebagai pesta main air.

“Bagi yang diarahkan berpindah, jangan pula berpatah balik kerana tindakan itu biasanya boleh mendatangkan masalah dalam operasi menyelamat," katanya kepada pemberita pada sidang media Persediaan JBPM Kelantan Menghadapi Monsun Timur Laut di Ibu Pejabat JBPM Kelantan di sini, hari ini.

Md Salleh berkata mangsa banjir yang diarah berpindah juga dinasihatkan menyimpan dokumen penting di tempat selamat, menutup semua suis elektrik dan jangan membiarkan tong-tong terbiar sehingga dihanyutkan air.

Mengenai persediaan bomba, Md Salleh berkata anggotanya di semua daerah telah diarah melakukan pemantauan di kawasan berisiko dilanda banjir bagi memudahkan operasi menyelamat  selain   membuat  rondaan bagi mengenalpasti kawasan yang mudah dinaiki air.

Beliau berkata kawasan yang mudah dinaiki air penting untuk dikenalpasti bagi mendapatkan maklumat mengenai warga tua dan ibu mengandung yang membolehkan tindakan menyelamat segera dilakukan sekiranya berlaku banjir kilat.

Selain itu beliau berkata arahan pembekuan cuti telah dikeluarkan kepada semua anggota bagi memastikan kekuatan di balai mencapai 80 peratus.

Kekuatan yang ada kini adalah seramai 1,543 termasuk 236 Pasukan Bomba Bantuan dan 717 Pasukan Bomba Sukarela.

Katanya terdapat 606 pusat permindahan yang telah dikenalpasti sebagai kawasan 'hotspot' iaitu di jajahan Kota Bharu, Pasir Mas (Rantau Panjang), Tumpat (Pengkalan Kubor) dan Pasir Puteh," katanya.

Katanya tempat pendaratan helikopter juga turut disediakan iaitu 16 di Kota Bharu, Pasir Masa (11), Kuala Krai (5), Machang (7), Tanah Merah (10), Pasir Puteh (5), Tumpat (7), Gua Musang (28), Jeli (9) dan Bachok (8).

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     

Beruang matahari diselamatkan dari rumah panjang di Betong

 
     

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel