nUkgvzfSrWM Sanggup bekerja di kandang kambing, 'ikat perut' demi basikal lajak
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sanggup bekerja di kandang kambing, 'ikat perut' demi basikal lajak


Tarikh kemaskini: 06/11/2019





Laporan Eksklusif Oleh: Wan Zuratikah Iffah Wan Zulkifli

KUALA TERENGGANU, 6 Nov -- Dek kerana terlalu minat dengan basikal lajak, ada di kalangan kanak-kanak dan remaja yang sanggup bekerja di kandang kambing selepas waktu sekolah.

Ada juga di antara yang ditemui Bernama berkata mereka terpaksa 'mengikat perut' dan tidak membeli makanan di sekolah asalkan dapat memiliki basikal lajak yang diidamkan.

Firdaus (bukan nama sebenar), 14, berkata beliau menjaga kandang kambing dengan kadar upah sebanyak RM30 sehari bermula pukul 6 petang sehingga 10 malam.

Beliau bekerja setiap hari selama beberapa bulan sehingga berjaya mengumpul wang dan mampu membeli basikal lajak yang bernilai lebih RM400 pada Mac lepas.

Bagaimanapun katanya, basikal itu bukanlah untuk berlumba di jalan raya sebaliknya hanya digunakan bagi melakukan aktiviti riadah bersama rakan sekampung.

"Sebelum ini saya memiliki basikal biasa namun bila timbulnya trend basikal lajak saya pun berusaha untuk mendapatkannya dengan mengumpul duit belanja sekolah dan hasil bekerja sambilan.

"Saya dan rakan bermain basikal di tempat tiada orang ramai kerana tidak mahu menanggung risiko dan membahayakan pengguna jalan raya dan tidaklah sampai melakukan aksi di lebuhraya," katanya ketika di temui Bernama di sini hari ini.

Sementara itu seorang lagi rakannya, Amirul (bukan nama sebenar), 12, berkata beliau menggunakan kreativitinya sendiri untuk mereka basikal lajak yang diingini dan komponennya dibeli hasil daripada wang saku RM5 yang diberi oleh ibunya untuk ke sekolah.

"Saya memasang komponen basikal ini dengan bantuan rakan-rakan yang lain dan dibeli menggunakan wang saku sekolah yang dikumpul sedikit demi sedikit sehinggalah menepati citarasa saya," katanya.

Tambahnya, setiap aktiviti basikal lajak itu akan disampaikan menerusi aplikasi WhatApp yang disertai lebih 50 orang di sekitar Kuala Terengganu.

Menurut Amirul, setiap hujung minggu semua ahli berkenaan akan berkumpul di kawasan tertentu untuk berkonvoi dan mempamerkan basikal masing-masing.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Terengganu, Superintendan Abd Razak Hasan, ketika dihubungi berkata gejala basikal lajak di negeri itu tidak serancak negeri-negeri lain kerana ia berlaku di kawasan kampung.

Abd Razak berkata pihak polis juga telah mengambil pendekatan membendung sejak beberapa tahun lalu dan sentiasa memberi peringatan secara berkala menerusi pelbagai program bersama komuniti setempat.

"Kita lihat kanak-kanak dan remaja yang terlibat dengan basikal lajak ini mempunyai kecenderungan menjadi 'mat rempit' pada masa akan datang kerana menyukai perlumbaan di  jalan raya. Sebab itulah pencegahan perlu dilakukan di peringkat awal," katanya.

Menurut Abd Razak pada tahun lepas terdapat dua kes yang melibatkan  aktiviti basikal lajak di jalan raya iaitu di kawasan Wakaf Beruas dan Pulau Sekati, yang mana remaja yang terlibat telah ditahan dan dibawa ke balai polis.

Ketika itu tiada sebarang tindakan diambil, sebaliknya bertindak memanggil ibubapa remaja berkenaan dan menasihati mereka agar tidak membiarkan anak-anak terlibat dengan aktiviti merbahaya itu.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     

Beruang matahari diselamatkan dari rumah panjang di Betong

 
     

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel