Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

PAS akan minta penjelasan Berjasa bertanding di PRK Tg Piai


Tarikh kemaskini: 06/11/2019





KOTA BHARU, 6 Nov -- PAS berkemungkinan akan meminta penjelasan Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) berhubung tindakan parti itu meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dilaporkan akan mengkaji hubungan dengan parti itu mungkin berkaitan dengan tindakan Berjasa itu sahaja.

"Pertama kita akan minta penjelasan kenapa dia (Berjasa) meletakkan calon sedangkan kita telah bersetuju supaya pencalonan diberikan kepada Barisan Nasional (BN). Mungkin dalam konteks itulah," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Mohd Amar diminta mengulas mengenai kenyataan Abdul Hadi yang dilaporkan berkata akan mengkaji kerjasama dengan Berjasa dari semasa ke semasa susulan tindakan parti itu mempertaruhkan Presidennya, Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz pada PRK Parlimen Tanjung Piai.   

Ditanya adakah PAS terasa hati dengan tindakan Berjasa pada PRK tersebut, Mohd Amar berkata tindakan parti itu cuma bertembung dengan semangat Muafakat Nasional yang ditandatangani antara Gagasan Sejahtera dan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

"Kita nak terasa hati sangat pun bukan kita yang bertanding, cuma macam kita sebut dari segi semangat, bila Berjasa bertanding ia sudah bertembung dengan semangat Muafakat Nasional. Tapi perkara ini boleh bincang di peringkat kita di Gagasan Sejahtera, itu tiada masalah," katanya.

PRK Tanjung Piai diadakan susulan kematian wakil rakyatnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, daripada Bersatu pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung.

Pada pilihan raya kecil itu, calon Pakatan Harapan (PH) Karmaine Sardini berdepan pertandingan enam penjuru, melawan calon BN daripada MCA Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, calon Gerakan Wendy Subramaniam dan Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz; serta dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 16 Nov ini.

-- BERNAMA  

   

 
 
     
   
 

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     

Beruang matahari diselamatkan dari rumah panjang di Betong

 
     

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel