Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Penganggur didakwa jadi Ah Long, miliki senjata


Tarikh kemaskini: 05/11/2019





KUANTAN, 5 Nov  -- Seorang penganggur didakwa di dua Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menjadi peminjam wang haram atau ‘Ah Long’ dan memiliki senjata.

Liau Kok Leong, 41, yang menggunakan topang ketiak kerana patah kaki kiri, mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali dan Hakim Dazuki Ali.

Di hadapan Siti Aminah, Kok Leong yang berasal dari Kajang, didakwa menawarkan pinjaman kewangan kepada pelanggan, tanpa lesen yang sah di sebuah rumah di Taman Indah, Lorong Air Putih 30 di sini, pada 8.45 pagi, 30 Okt lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 yang membawa hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. 

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Syarifah Nursyuhada Tuan Mamat mencadangkan wang jaminan RM80,000 dengan seorang penjamin namun Liau yang tidak diwakili peguam merayu jumlah itu dikurangkan kerana dia tidak bekerja dan perlu menanggung isteri, seorang anak dan ibu bapa yang sudah tua.

?????Siti Aminah membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Dis untuk sebutan semula kes. 

Di hadapan Dazuki, Liau mengaku tidak bersalah memiliki sebilah parang berukuran 48 sentimeter dan satu buku lima jenis logam berwarna kuning di tempat dan waktu yang sama. 

Bagi pertuduhan itu dia didakwa mengikut Seksyen 7(1)(a) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan 1958 (Akta 357) yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

TPR Haryati Abdullah tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh atas faktor keselamatan mangsa yang pernah meminjam wang daripada tertuduh. 

Bagaimanapun, Dazuki selepas menimbangkan rayuan tertuduh yang mendakwa menghidap penyakit jantung membenarkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada tarikh yang sama dengan tuduhan kes Ah Long.

-- BERNAMA 

   

 
 
     
   
 

KV Keningau raih pingat perak pada pertandingan inovasi di Singapura

 
     

Kerajaan negeri Perak bangunkan projek pembangunan koridor persaraan

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Melaka turun RM3.6 juta tahun lepas

 
     

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel