Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

JKM Kelantan sediakan 606 pusat pemindahan


Tarikh kemaskini: 05/11/2019





KOTA BHARU, 5 Nov -- Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan menyediakan 606 pusat pemindahan sementara melibatkan 1,066 kampung bagi menghadapi bencana banjir di Kelantan.

Pengarahnya, Said Sidup berkata seramai 13,000 mangsa banjir akan menerima bekalan makanan dalam tempoh tiga hari.

"Sekiranya banjir berlarutan, kami sudah berbincang mengadakan pembelian darurat menerusi pembekal di pasar raya seperti Mydin, Tesco dan Giant terutama bekalan barangan basah seperti sayur-sayuran dan telur," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Said berkata pihaknya menerima peruntukan Kerajaan Persekutuan dan negeri sebanyak RM1.3 juta untuk bencana banjir di Kelantan.

"Peruntukan ini melibatkan pelbagai keperluan termasuk selimut, tuala, tikar dan pek alat kebersihan yang sudah ada di stor yang boleh digunakan mangsa banjir semasa berada di pusat pemindahan," katanya.

Said berkata keperluan semasa banjir tersebut disediakan di Depoh Simpanan di Kemumin, Pengkalan Chepa di sini, selain terdapat 17 mini depoh di seluruh jajahan dan 209 pangkalan hadapan yang menyimpan barangan yang akan dibekalkan di pusat pemindahan apabila berlaku banjir.

Beliau berkata 412 kakitangan jabatannya bersedia bertugas dengan 336 daripada mereka akan bertugas atas panggilan di pusat gerakan dan JKM turut menyediakan sukarelawan banjir termasuk 11 ahli psikologi yang bertindak sebagai kaunselor termasuk Pasukan Sokongan Psikologi (PST) serta 194 sukarelawan daripada agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat dan lain-lain.

"Di 606 pusat pemindahan pula, pihaknya turut melantik 5,454 jawatankuasa pusat yang dipilih Ketua Jajahan, yang bertindak sebagai tukang masak, menjaga kebersihan dan lain-lain tanggungjawab semasa berlaku banjir," katanya.

Beliau menasihatkan mangsa banjir supaya sentiasa berwaspada dengan keadaan semasa dan mengikuti arahan yang dikeluarkan termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi penyelamat.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

KV Keningau raih pingat perak pada pertandingan inovasi di Singapura

 
     

Kerajaan negeri Perak bangunkan projek pembangunan koridor persaraan

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Melaka turun RM3.6 juta tahun lepas

 
     

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel