Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Lelaki dipenjara tujuh tahun, dua sebatan, hukuman samun pelajar perempuan


Tarikh kemaskini: 05/11/2019





KUANTAN, 5 Nov -- Seorang pembantu kedai makan, terpaksa merengkuk selama tujuh tahun di dalam penjara dan menerima dua sebatan, sebagai hukuman kerana telah menyamun seorang pelajar perempuan, dua bulan lepas.

Hakim Dazuki Ali menjatuhkan hukuman itu ke atas Sheikh Norafzan Abdul Ghani, 31, yang berasal dari Wakaf Bharu, Kelantan, selepas tertuduh mengaku bersalah melakukan perbuatan itu, di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Dalam penghakimannya, Dazuki menasihati tertuduh supaya tidak mengulangi kesalahannya dan berkata lelaki itu seharusnya berfikir panjang sebelum terlibat dalam jenayah yang boleh membahayakan nyawa orang lain.

"Awak masih bernasib baik kerana tidak menikam mangsa memandangkan awak bersenjata. Jika awak yang disamun, adakah awak marah? Atau jika kejadian sama berlaku terhadap adik atau waris awak? 

"Kesalahan yang dilakukan adalah serius. Saya lihat awak juga bernasib baik kerana mangsa tidak jatuh semasa awak menarik beg sandangnya. Jika mangsa cedera, keadaannya mungkin lebih teruk untuk awak," kata hakim itu yang mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan pada 16 Sept lepas. 

Mengikut pertuduhan, Sheikh Norafzan didakwa menyamun Heng Khai Qi, 15, pada 4.00 pagi, 11 Sept lepas di Lorong Indera Mahkota 6/2 di sini, dengan melarikan beg sandang mangsa yang mengandungi wang tunai RM400 dan dua telefon pintar jenama iPhone dan Huawei. 

Mangsa, yang ketika kejadian dikatakan baharu pulang dari restoran makanan segera berhampiran, mendakwa kerugian kira-kira RM1,000. 

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh didenda atau sebat.

Terdahulu, tertuduh yang berbaju-t hitam serta berseluar jeans biru dan tidak diwakili peguam merayu hukuman terhadapnya diringankan atas alasan perlu menjaga adik-beradiknya memandangkan ibu bapa mereka sudah meninggal dunia. 

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Haryati Abdullah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana tertuduh menggunakan pisau dan telah mengejar mangsa ketika kejadian itu, selain turut mempunyai rekod kesalahan lampau menceroboh. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

KV Keningau raih pingat perak pada pertandingan inovasi di Singapura

 
     

Kerajaan negeri Perak bangunkan projek pembangunan koridor persaraan

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Melaka turun RM3.6 juta tahun lepas

 
     

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel