Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

678 kakitangan Jabatan Kesihatan Terengganu sedia bertugas musim banjir 


Tarikh kemaskini: 04/11/2019





MARANG, 4 Nov -- Seramai 678 kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu akan digerakkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negeri sepanjang musim tengkujuh kali ini.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Mohd Jusoh berkata daripada jumlah itu, 378 kakitangan adalah daripada 71 pasukan perubatan manakala 300 kakitangan pula daripada 72 pasukan kesihatan.

"Pasukan perubatan akan memberikan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan dan rawatan bagi mangsa yang memerlukan, dan bagi PPS yang mempunyai mangsa lebih 1,000 orang, klinik statik akan beroperasi secara tetap di PPS itu.

"Pasukan kesihatan pula bertindak menjalankan aktiviti pencegahan dan kawalan penyakit bagi memantau, mengesan dan mengawal kejadian penyakit berjangkit akibat banjir," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Kesihatan Mental, Diabetes dan Jantung Sedunia 2019 peringkat Terengganu di sini hari ini. 

Jabatan Meteorologi meramalkan Terengganu akan menerima taburan hujan yang lebat antara empat hingga enam episod berserta dengan angin kencang bermula akhir Oktober hingga Mac 2020.

Mengulas lanjut, beliau berkata jabatan juga telah memastikan keperluan ubat-ubatan kepada mangsa banjir adalah mencukupi malah hospital juga telah bersedia untuk menerima mangsa banjir yang memerlukan rawatan lanjut.

"Bagi sukarelawan banjir di pusat pemindahan sementara, kursus kepada wakil sukarelawan dari setiap daerah juga telah diadakan pada bulan lepas yang mana mereka ini mengikuti latihan dalam aspek penjagaan kesihatan bagi mangsa banjir yang tinggal di pusat pemindahan.

"Bahagian Kualiti dan Kebersihan Makanan juga telah memantau pemberian vaksin kepada sukarelawan penyediaan makanan di PPS nanti dan nama pengendali telah diambil oleh daerah masing-masing untuk diberikan suntikan secara percuma," katanya. 

Seramai 1,041 pengendali makanan telah dikenal pasti yang mana 575 orang telah disuntik pada tahun lepas, 84 orang disuntik pada tahun ini dan baki seramai 355 orang akan disuntik dalam masa terdekat.

Selain itu, ibu yang dijangka bersalin pada masa banjir ini telah dinasihatkan berpindah awal ke rumah saudara-mara yang berhampiran dengan hospital terutama penduduk dari Pulau Redang dan Pulau Perhentian, katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     

7,000 murid KAFA cipta rekod MBOR, hasilkan peta minda terbanyak

 
     

HOSHAS catat sejarah pembedahan katarak terbesar dalam dua hari

 
     

Terapi seni penjara beri kesan positif pada banduan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel