Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

‘Pak Su’ cekal bertani walaupun tanpa kaki


Tarikh kemaskini: 04/11/2019




KOTA BHARU, 4 Nov -- Dilahirkan sempurna, cukup anggota badan namun kehilangan kedua-dua belah kaki ekoran penyakit kencing manis, membuat Pak Su hilang arah dan dunianya menjadi kelam.

Namun, alah bisa, tegal biasa, tidak terus meratapi kesedihannya, Pak Su atau nama sebenarnya Zainal Abidin Mat Hussin, 60, terus bangkit mencari rezeki.

Kini, biarpun tanpa kedua-dua belah kakinya, yang dipotong pada tahun 1994 dan 2003, bekas pemandu lori yang pernah diberhentikan kerja kerana ketiadaan kaki itu cekal meneruskan kehidupan dengan bertani.

Tanaman yang diusahakan Pak Su di tanah seluas suku ekar, (0.16 hektar) sejak lima tahun lepas, kini mempunyai 150 pokok naga isi merah serta beberapa tanaman lain seperti pisang, terung dan petola. 

“Selepas kedua-dua kaki saya dipotong, saya merasakan hidup saya malap kerana sudah cacat dan tidak boleh bekerja berat lagi namun mujurlah ada penduduk kampung yang menyuruh mengusahakan tanahnya yang terbiar untuk bercucuk tanam,” katanya kepada pemberita di rumahnya di Kampung Serendah Sekebun Bunga di sini, hari ini.

Pak Su berkata kebiasaannya pokok naga ini mengambil masa setahun sebelum hasilnya dapat dituai yang mampu mencecah sebanyak 20 kilogram (kg) setiap kali tuaian dan ia dijual di sekitar pasar atau pembeli datang membeli di rumahnya dengan harga RM6 sekilo.

“Walaupun hasil pulangan yang diperoleh tidak seberapa iaitu antara RM200 hingga RM300 sebulan, namun ia mencukupi untuk menampung perbelanjaan harian saya dan isteri di rumah,” katanya menambah setiap hari seawal 9 pagi dia akan pergi meninjau dan membersihkan kawasan kebun. 

Bapa kepada empat anak yang berusia antara 24 dan 30 tahun ini berkata, walaupun dia mempunyai anak, namun mereka bekerja kampung dengan pendapatan hanya cukup untuk menampung diri dan keluarga masing-masing sahaja.

"Saya tidak mahu menyusahkan anak-anak, selagi ada kudrat dan diberikan kesihatan yang baik saya akan terus menggunakan anggota badan saya yang masih berfungsi untuk membanting tulang.

“Kecacatan yang dialami bukan menjadi satu sebab untuk saya terus mengharapkan simpati orang, bahkan dengan kekurangan ini ia menjadikan saya insan yang lebih cekal dan terus bersemangat untuk mengharungi kehidupan mendatang,” katanya yang turut menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 sebulan. 

Sementara itu, seorang pelanggan tetap Pak Su, Fauzi Daud, 57, dari Kampung Salor, Pasir Mas berkata, hasil tanaman Pak Su sering kali menjadi pilihannya. 

“Selain niat untuk membantu Pak Su dengan membeli hasilnya, melihat cara Pak Su bekerja juga memberi motivasi kepada saya insan yang normal untuk bekerja dengan lebih kuat,” katanya. 

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     

Beruang matahari diselamatkan dari rumah panjang di Betong

 
     

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel