vIUqzWdE67c K'jaan sasar 10,000 hektar tanaman kenaf di Terengganu menjelang 2025- Teresa
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

K'jaan sasar 10,000 hektar tanaman kenaf di Terengganu menjelang 2025- Teresa


Tarikh kemaskini: 03/11/2019





SETIU, 3 Nov  -- Kerajaan menyasarkan kawasan penanaman kenaf di Terengganu akan mencecah 10,000 hektar menjelang tahun 2025, kata Menteri Industri Utama Teresa Kok.

Katanya setakat ini Terengganu mempunyai tanaman kenaf seluas 2,000 hektar dan kementerian telah berbincang dengan kerajaan negeri untuk memperluaskan kawasan tanaman tersebut di negeri ini terutama di sekitar Setiu dan Besut.

“Peluasan kawasan tanaman kenaf adalah sejajar dengan keperluan pusat pemprosesan dan pengeluaran produk kenaf yang memerlukan bekalan bahan mentah yang konsisten. Keperluan tersebut penting bagi memenuhi permintaan industri untuk pasaran domestik dan antarabangsa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Pemprosesan dan Pengeluaran Produk Kenaf di Kawasan Perindustrian Saujana, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Industri Utama Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Ketua Pengarah Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) Samsudin Noor.

Teresa berkata berdasarkan potensi dan permintaan domestik yang semakin meningkat, kerajaan menyasarkan sebanyak RM350 juta mampu dijana industri kenaf menjelang 2025.

“Jangkaan ini juga adalah berdasarkan kepada permintaan pasaran dunia yang semakin beralih kepada bahan mentah mampan. Industri berasaskan eco-fiber termasuk fiber daripada kenaf dijangka mencapai nilai pasaran global sebanyak RM69 bilion menjelang 2025,” katanya.

Sementara itu Pusat Pemprosesan dan Pengeluaran Produk Kenaf yang dirasmikan hari ini telah dibangunkan dengan kos sebanyak RM25 juta dan dijangka beroperasi sepenuhnya awal tahun hadapan.

Katanya kilang tersebut dijangka mampu mengeluarkan 2,400 metrik tan produk ‘non-woven thermobonding’ kenaf setahun, dengan nilai RM20 juta untuk pasaran domestik dan antarabangsa.

Kilang tersebut juga bakal menyokong pembangunan kenaf sehingga 1,000 hektar di kawasan sekitar melibatkan pekebun-pekebun kecil di Terengganu dan Kelantan.

“Selain itu ia turut menjadi pemangkin kepada usahawan PKS (Perusahaan Kecil dan Sederhana) dan pekebun kecil untuk terlibat dalam aktiviti nilai tambah melalui pemprosesan kenaf dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan pendapatan mereka,” katanya.  

Pada majlis tersebut Teresa menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara LKTN dengan Universiti Sains Malaysia (USM) bagi projek Research Innovation Technology and Incubation of Small Enterprises (RINTIS).

Melalui projek tersebut LKTN dan USM akan bekerjasama dalam pembangunan pengkomersialan dan inovasi produk biokomposit berasaskan kenaf.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel