Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Polis Kelantan rampas kulit kepala harimau dalam Ops Khazanah


Tarikh kemaskini: 03/11/2019





KOTA BHARU, 3 Nov -- Kulit kepala harimau yang sudah dikeringkan adalah antara barangan yang dirampas polis Kelantan dalam Ops Khazanah yang dilaksanakan di negeri ini sejak bulan lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, rampasan itu dilakukan dalam satu operasi yang dijalankan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, malam tadi.

Beliau berkata turut dirampas adalah dua batang gigi taring harimau, kuku harimau dan sekeping kulit harimau yang sudah dikeringkan.

"Dalam serbuan di semua rumah di Kampung Lubuk Bunut pukul 12.30 tengah malam tadi itu polis turut menahan seorang penjawat awam berusia 52 tahun.

Polis akan menyiasat lebih lanjut perkara itu termasuk bagi mengetahui apakah tujuan lelaki berkenaan menyimpan khazanah negara itu. Adakah untuk dijual ataupun sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Cawangan Khas (KCK) Kelantan dan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (KJSPT) Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.

Dalam majlis berkenaan,  ACP Daud Omar bertukar ke Pahang dengan digantikan oleh ACP Jalaludin Hamid dari IPK Pahang.

Sementara, Ketua JSPT Kelantan akan diisi oleh Ketua Polis Besut, Terengganu iaitu Supt Mohd Zamri Mohd Rowi mengantikan Supt Markandan a/l Subramaniam yang ditukarkan ke Bahagian Latihan Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur.

Dalam perkembangan sama, Hasanuddin berkata pada 30 Oktober lalu, polis Kelantan turut menahan dua lelaki berusia 40 an dalam serbuan di Pasir Mas dan Tumpat di mana pelbagai bahagian anggota haiwan disyaki daripada pelbagai jenis hidupan liar seperti harimau, rusa dan gajah dirampas.

“Berkaitan isu ini polis menyeru kepada masyarakat supaya menyalurkan maklumat sekiranya mengetahui ada mana-mana individu yang menyimpan khazanah negara ini. Pihak berkenaan sebenarnya melakukan satu kesalahan yang boleh didenda dan dipenjarakan," katanya.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     

7,000 murid KAFA cipta rekod MBOR, hasilkan peta minda terbanyak

 
     

HOSHAS catat sejarah pembedahan katarak terbesar dalam dua hari

 
     

Terapi seni penjara beri kesan positif pada banduan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel