Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Usia tidak halang jadi pengantin beramai-ramai


Tarikh kemaskini: 02/11/2019





KUANTAN, 2 Nov  -- Mohd Asri Dir, 53, tidak menyangka  perkenalannya  dengan  Mariati Murad 39, empat bulan lalu akhirnya membawa  mereka ke jinjang pelamin. 

Mereka adalah antara sembilan pasangan pengantin yang diraikan dalam satu majlis perkahwinan beramai-ramai di sini.

Mohd Asri berkata beliau tidak menyangka akan bertemu jodoh untuk kali kedua selepas kematian isterinya setahun yang lepas.

"Saya tiada niat untuk berkahwin lagi selepas kematian isteri namun kalau sudah jodoh tak ke mana. Saya disatukan dengan Mariati melalui pertemuan yang dirancang oleh rakan dan saudara.

"Majlis perkahwinan yang dibuat secara beramai-ramai ini merupakan satu pengalaman berharga dan unik bagi saya kerana saya boleh melihat gelagat pasangan-pasangan lain yang lebih muda dalam satu majlis yang sama," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Program Mega Seri Pengantin di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di sini, hari ini.

Bagi satu lagi pasangan pengantin, Nik Hafizi Syahid Nik Zulkiflee, 22, dan Nur Atikah Mohd Ripin, 21, berkata  majlis perkahwinan beramai-ramai seperti ini memberikan mereka peluang untuk berjimat tanpa mengorbankan kemeriahan hari bahagia mereka.

"Bagi pasangan muda seperti kami, ia memberikan penjimatan dengan bayaran pakej yang murah untuk majlis yang lengkap dengan jamuan makan, pakaian dan lain-lain," kata Nik Hafizi Syahid.

Sementara itu, Pengarah Glams Wedding Event Specialist Azura Mohamad berkata sehingga kini sebanyak 200 pasangan telah diraikan dalam program berkenaan, sejak ia kali pertama dianjurkan pada 2016 dengan kadar bayaran RM3,000 bagi setiap pasangan.

"Kami selaku penganjur akan mengaturkan persiapan dari mula majlis akad nikah sehingga ke majlis persandingan untuk setiap pasangan pengantin," katanya.

Katanya, jumlah pasangan terbanyak yang pernah diuruskannya dalam satu-satu majlis ialah sebanyak 20 pasangan.

---BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     

7,000 murid KAFA cipta rekod MBOR, hasilkan peta minda terbanyak

 
     

HOSHAS catat sejarah pembedahan katarak terbesar dalam dua hari

 
     

Terapi seni penjara beri kesan positif pada banduan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel