qsUOGAda3tQ PRK Tanjung Piai: Pertembungan ideologi baharu, rakan lama kini jadi seteru politik
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

PRK Tanjung Piai: Pertembungan ideologi baharu, rakan lama kini jadi seteru politik


Tarikh kemaskini: 02/11/2019





Oleh Mohd Faizal Hassan

PONTIAN, 2 Nov  -- Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai yang bermula selepas selesai penamaan calon pagi tadi, menyaksikan pertembungan kemunculan ideologi politik baharu selain pertandingan antara rakan yang kini menjadi seteru politik atau sebaliknya sebelum boleh diangkat sebagai “Yang Berhormat”.

Senario ini boleh mencetuskan pertandingan sihat bagi mencari siapa yang lebih hebat selain faktor latar belakang bagi menarik  perhatian kira-kira 53,000 pengundi dalam kawan Parlimen Tanjung Piai.

Pentas PRK kali ini menyaksikan pertandingan enam penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PH) Karmaine Sardini, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (Barisan Nasional (BN)), Wendy Subramaniam,(Gerakan), Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz (Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa)) dan dua calon bebas iaitu pengasas pusat tuisyen Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abdul Ghaffar, seorang ahli perniagaan yang mewakili mewakili Gabungan Teksi Se-Malaysia (GTSM).

Calon parti pemerintah, Karmaine Sardini, 66 yang merupakan Ketua Bersatu Bahagian Tanjung Piai menyifatkan pertandingan ini medan mengembalikan sokongan rakyat Tanjung Piai kepada kerajaan.

PRK ini merupakan pentas kedua bagi Karmaine, seorang arkitek dan imam masjid, untuk bertanding di dalam pilihan raya selepas pertama kali berbuat demikian apabila menjadi calon Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di kerusi Parlimen Pontian menentang Datuk Seri Ahmad Maslan ( BN) namun tewas dengan undi majoriti 833 undi.          

Persoalan yang bermain di bibir sesetengah masyarakat adalah faktor umur dan kredibiliti Karmaine untuk dipilih menjadi calon selepas tewas sebelum ini.

Seorang ahli jentera parti Bersatu yang hanya mahu dikenali sebagai Elmi berkata Karmaine perlu bekerja keras memahat namanya di hati pengundi dan juga di bibir netizen jika ingin dipilih sebagai wakil rakyat.

Namun Karmaine masih mempunyai kekuatan untuk menarik pengundi - sokongan kerajaan sama ada di peringkat Pusat dan negeri yang dikuasai PH, satu kelebihan dalam aspek membawa pembangunan. 

Parlimen Pontian dan Parlimen Tanjung Piai terletak dalam daerah Pontian, malah sebahagian daripada Pekan Pontian berada dalam Parlimen Pontian dan sebahagian lagi dalam Parlimen Tanjung Piai.

Di kem pembangkang pula, BN memilih Wee, yang merupakan bekas penyandang, untuk kembali bertanding walaupun pernah tewas kepada Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafiq yang mewakili PH pada PRU14 tahun lepas.

Wee pernah dipilih sebagai Ahli Parlimen Tanjung Piai selama dua penggal pada 2008 hingga 2018, dan sebelumnya merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pekan Nanas, yang terletak dalam Parlimen Tanjung Piai, pada 2004 hingga 2008.

Walaupun Wee dilabel sebagai “calon recycle”, Ahmad Maslan ketika ditemui Bernama berkata BN yakin dengan pemilihan calon tersebut bagi melakar kejutan nanti.

PRK ini juga disifat luar biasa apabila bekas rakan komponen BN yang keluar daripada gabungan itu setelah kekalahan pada PRU14, parti Gerakan turut bertanding dengan meletakkan Timbalan Setiausaha Agung Nasionalnya, Wendy Subramaniam sebagai calon.

Persoalan yang berbangkit adalah kemampuan parti tersebut bergerak bersendirian tanpa bimbingan rakan-rakan BN selepas sama-sama menempuh pelbagai episod politik sejak sekian lamanya.

Geostrategis Azmi Hassan berkata Gerakan memerlukan masa untuk berdiri gah sebagai parti bebas sekaligus dilihat belum bersedia sepenuhnya untuk pertandingan kali ini.

Pertembungan ideologi turut membabitkan Berjasa yang akan meletakkan Presidennya Dr Badhrulhisham Abdul Aziz sebagai calon di mana tindakan ini dibuat selepas mendakwa "Islam dibuli" selepas lebih setahun PH memerintah, dan calon BN pula dianggap langsung tidak membawa aspirasi Melayu-Islam.

Mengulas mengenai persaingan enam penjuru ini, veteran politik dan bekas Menteri Luar Tan Sri Syed Hamid Albar berkata ia medan menguji kertas litmus masing-masing sama ada boleh meraih perhatian pengundi dan sokongan, ditolak pengundi atau dilabel sekadar membuat bising yakni pengacau demi keseronokan sementara.

Kerusi Parlimen Tanjung Piai sebelum ini disandang Allahyarham Dr Md Farid  yang pada PRU14, mewakili Bersatu memenangi kerusi Parlimen itu dengan memperoleh 21,255 undi menewaskan Wee (20,731 undi) dan calon PAS Nordin Othman (2,962 undi).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan16 Nov sebagai hari mengundi manakala 12 Nov  bagi pengundian awal. PRK itu diadakan selepas Dr Md Farid, 42, meninggal dunia akibat komplikasi jantung pada 21 Sept lalu.          

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Wakil jabatan audit mengaku rakam mesyuarat "pinda laporan audit 1MDB"

 
     

Pasukan audit 1MDB terkejut dengar gugur penyata kewangan - Saksi

 
     

Johor umum bantuan khas kewangan sebulan gaji buat penjawat awam negeri

 
     

Cadang Pahang kenakan sewa tinggi kepada Lynas - ADUN Kemayan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel