Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tonto menyamar jadi kaki pancing, nelayan beri maklumat pergerakan APMM


Tarikh kemaskini: 02/11/2019





PASIR PUTEH, 2 Nov  -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan mengesan taktik terbaharu penyeludup yang mengupah tonto untuk menyamar sebagai pemancing atau nelayan pinggir pantai bagi memberi maklumat mengenai pergerakan agensi itu ketika berada di laut.

Pengarah APMM Kelantan Kepten Muhammad Nur Syam Asmawie Yaacob berkata tonto berkenaan akan ditempatkan di beberapa kawasan difikirkan strategik oleh penyeludup bagi memantau pergerakan kapal dan bot APMM yang menjalankan operasi mencegah jenayah di perairan Kelantan.

"Tonto ini akan menggunakan semua teknologi yang ada terutama telefon atau isyarat lampu untuk menghubungi penyeludup selepas melihat kapal APMM keluar dari kawasan operasi dan penyeludup akan bergerak masuk ke kawasan perairan untuk ke kawasan yang ditetapkan bagi mendaratkan barangan seludup.

"Ada juga tonto yang menyamar sebagai nelayan bertindak merentangkan pukat di kawasan-kawasan tertentu bagi menyukarkan kapal APMM terutama ketika mengejar bot yang digunakan penyeludup," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat APMM Kelantan di Tok Bali di sini, hari ini.

Muhammad Nur Syam Asmawie berkata penyeludup juga akan menggunakan kawasan pinggir pantai untuk membawa barangan seludup ke satu-satu destinasi kerana keadaan fizikal kapal dan bot APMM yang tidak dapat beroperasi di perairan yang cetek.

Beliau berkata penyeludup juga sering mengubah modus operandi dari semasa ke semasa namun APMM sentiasa akan memastikan strategi kita berada di depan dalam mengekang aktiviti haram ini.

"Walaupun pelbagai taktik digunakan penyeludup namun kita berjaya mengatasi mereka apabila berjaya merampas 1,500 liter petrol dan sebuah bot pancung yang dianggarkan bernilai RM186,000 berhampiran Kuala Kongkong, Tumpat semalam menerusi Op Naga Barat dan Op Damai.

"Dalam kejadian kira-kira pukul 6.55 pagi itu, pasukan APMM cuba membuat pemeriksaan ke atas bot berkenaan namun penyeludup bertindak melarikan diri sebelum mendarat di sebuah pantai dan melarikan diri ke dalam hutan," katanya.

Beliau berkata pemeriksaan ke atas bot tersebut menemui 29 tong petrol manakala lima tong lagi telah dibuang ke dalam laut ketika penyeludup sedang dikejar oleh anggota penguat kuasa.

Katanya barangan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat APMM Kelantan dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyimpan barang kawalan dengan niat melakukan kesalahan.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel