Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Jambatan sempit Melor-Mahligai jadi laluan pemindahan banjir perlu diperlebarkan


Tarikh kemaskini: 02/11/2019




KOTA BHARU, 2 Nov  -- Musim banjir yang bakal tiba membawa kebimbangan kepada lebih 1,000 penduduk Kampung Sri Melor di sini berikutan jambatan sempit dan perlu diperlebarkan bagi kemudahan bila berlakunya pemindahan.

Tinjauan di sekitar jambatan kecil konkrit dibina pada awal 1980-an yang terletak di Kampung Sri Kulim di sini bersempadan dengan Kampung Mahligai, Bachok mendapati ia menjadi laluan utama kepada penduduk di 10 kawasan kampung berhampiran yang berulang-alik untuk ke Melor, Mahligai serta Pasir Puteh semasa musim banjir.

Penduduk, Anuar Awang, 52, berkata apa yang merisaukan, jambatan kecil itu hanya boleh memuatkan kereta bersaiz kecil, yang mana dengan usianya hampir 30 tahun, ia menjadi satu-satunya laluan bagi menghubungkan penduduk kampung sekitar serta agensi keselamatan termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) semasa berlaku banjir besar.

"Kami merayu supaya pihak berkaitan seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) membuat pelebaran jambatan ini supaya ia membolehkan mereka yang lalu-lalang boleh berselisih.

"Seelok-eloknya jalan ini dilebarkan sedikit saiznya bagi memudahkan orang kampung berulang-alik menuju ke jalan utama, lagipun semasa banjir, jalan ini menjadi tumpuan setelah jalan lain seperti ke Klinik Ziad Azhari dan Kampung Padang Raja dinaiki air terlebih dahulu," katanya semasa ditemui di Kampung Sri Kulim Melor di sini hari ini.

Menurut penduduk, Isham Ibrahim, 45, sebelum ini, beberapa penduduk pernah mengemukakan permohonan untuk melebarkan jambatan kepada pihak yang berkaitan, namun tidak ada tindakan yang diambil.

"Sebenarnya berlaku kekeliruan tugas berikutan jambatan biasanya di bawah kendalian Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang biasa membersihkan sungai dan pernah membaik pulih pagar jambatan ini yang pernah patah pada tahun lalu.

"Namun, untuk tindakan pelebaran jambatan ini, kami dimaklumkan ia di bawah JKR, jadi kami berharap perkara ini mendapat perhatian daripada pihak yang sewajarnya dipertanggungjawabkan untuk keselamatan kami," katanya.

Kata beliau, tindakan segera perlu dilakukan berikutan sudah ada beberapa kes kenderaan terjatuh dan hampir terjatuh sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

"Kami sangat bimbang setiap kali berselisih dengan kenderaan berat yang lain dan paling bahaya adalah pada waktu malam kerana keadaan di sini sangat gelap," katanya.

Katanya, jumlah kenderaan yang melalui jambatan tersebut juga meningkat, malah ia turut dilalui penunggang motosikal yang berulang-alik dan biasanya mereka terpaksa memberhentikan motosikal apabila berselisih.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel