Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Jiran tetak tiga beranak dianggap seperti keluarga - Kakak mangsa


Tarikh kemaskini: 01/11/2019





JERANTUT, 1 Nov -- Ahli keluarga tiga beranak yang menjadi mangsa tetak dan tikam oleh jiran sendiri di Felda Kota Gelanggi Satu di sini, dua hari lepas tidak menyangka suspek boleh bertindak sedemikian kerana mereka sudah lama saling mengenali. 

Siti Noraini Zainal Abidin, 33, yang merupakan kakak kepada seorang mangsa, Mohd Nor Alami Zainal Abidin, 31, berkata, suspek sebelum ini kerap datang ke rumah mereka untuk berbual dengan adiknya itu.

"Kami tidak tahu suspek mempunyai sejarah sakit mental. Malah daripada cerita adik (Mohd Nor Alami) ketika kejadian, mereka sedang berbual apabila secara tiba-tiba suspek mengeluarkan parang lalu menetak tangan kirinya. 

"Saya memang terkejut bila terima berita adik, ayah dan anak saudara dicederakan kerana suspek sudah dianggap seperti sebahagian daripada keluarga kerana hubungan kami agak rapat," katanya kepada pemberita semasa dihubungi di sini, hari ini. 

Selain Mohd Nor Alami, suspek turut mencederakan bapa Siti Noraini dan Mohd Nor Alami iaitu Zainal Abidin, 63, dengan menikam perut lelaki itu beberapa kali selain turut menetak tangan kanan cucu Zainal Abidin, Nor Syashakilla Hasbullah, 20.

Dalam kejadian 11.40 malam Rabu lalu, suspek dikatakan datang ke rumah mangsa dan memanggil Mohd Nor Alami yang sedang menonton televisyen untuk keluar dari rumah. Mohd Nor Alami yang mendengar panggilan itu bertindak keluar dan telah ditetak suspek.

Selepas menetak Mohd Nor Alami, suspek meluru masuk ke dalam rumah dan menetak Nor Syashakilla yang ketika itu sedang bersiap untuk tidur di ruang tamu. Zainal Abidin yang baru sahaja bergegas keluar dari biliknya ke ruang tamu selepas mendengar jeritan Nor Syashakilla turut ditikam oleh suspek.

Suspek berusia 32 tahun yang dikatakan bertindak sedemikian kerana mengalami halusinasi itu bagaimanapun berjaya ditahan polis di rumahnya, selang beberapa jam selepas kejadian bersama parang berukuran 40 sentimeter dan baju yang berlumuran darah.

Siti Noraini berkata Mohd Nor Alami dibenarkan keluar dari Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) di Temerloh, dekat sini, hari ini, manakala bapanya dijadual menjalani pembedahan untuk kali ketiga, esok di hospital sama dan Nor Syashakilla pula masih ditahan di hospital berkenaan untuk pemantauan lanjut. 

"Kami sekeluarga bersyukur kerana ketiga-tiga mereka selamat dan stabil terutama ayah yang sebelum ini berada dalam keadaan kritikal kerana kecederaan teruk dialaminya," katanya. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jerantut, Supt Mazlan Hassan berkata, suspek direman sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Siasatan awal mendapati suspek pernah mendapatkan rawatan psikiatri selain tiada rekod jenayah lampau atau terbabit dalam penagihan dadah. 

-- BERNAMA  


 

   

 
 
     
   
 

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     

7,000 murid KAFA cipta rekod MBOR, hasilkan peta minda terbanyak

 
     

HOSHAS catat sejarah pembedahan katarak terbesar dalam dua hari

 
     

Terapi seni penjara beri kesan positif pada banduan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel