Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Bantuan RM2 juta untuk penternak ikan sangkar terjejas taufan


Tarikh kemaskini: 01/11/2019




PONTIAN, 1 Nov  -- Kerajaan hari ini meluluskan bantuan RM2 juta untuk penternak ikan sangkar yang terjejas akibat taufan di Kampung Air Masin, Kukup dekat sini pada Ogos lepas dan bagi pemulihan jeti-jeti uzur di kawasan Tanjung Piai.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata RM1 juta digunakan untuk bantuan kepada 78 penternak ikan sangkar yang terjejas manakala RM1 juta lagi untuk pemulihan jeti-jeti nelayan yang uzur.

Katanya bantuan berkenaan merupakan tanggungjawab kerajaan bagi membantu nelayan dan bukannya sebagai cubaan 'membeli' undi sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

"Saya sudah sebut, saya anak Tanjung Piai, ada masa saya balik kampung. Sebagai Menteri Pertanian (dan Industri Asas Tani), apa yang mereka minta atau mahu bantuan, kami (kerajaan) akan tunaikan secepat mungkin," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Makan Perpaduan "Makanan Menyatukan Kita", di sini hari ini.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata beliau sebelum ini sudah melakukan sekurang-kurangnya lapan program bantuan kepada nelayan di sekitar daerah Pontian termasuk melepaskan benih ketam, saraan hidup serta melawat ternakan kerang-kerangan di Tanjung Piai.

Katanya beliau sudah tidak peduli terhadap suara-suara sumbang yang mempertikaikan usahanya itu.

"Kerajaan prihatin...jadi kami beri bantuanlah, takkan nak tunggu lepas pilihan raya (untuk beri bantuan). Esok contohnya, kalau selepas penamaan calon, berlaku musibah, saya beri bantuan saya tidak perlu dengar cakap-cakap orang lain. Ini kerajaan yang bertanggungjawab," tegasnya.

Ogos lepas, kesemua penternak terbabit kerugian kira-kira RM5 juta berikutan ribuan ikan ternakan mereka mati akibat pencemaran air tawar ekoran taufan Lekima.

Sementara itu, Salahuddin berkata kerajaan sedang menggalakkan sektor agrokulinari dengan memfokuskan pembangunan menu hidangan Malaysia yang menggunakan bahan mentah tempatan untuk distandardkan di segi rasa dan persembahan.

Beliau berkata dalam masa sama, kerajaan turut memberi galakan kepada agropreneur muda yang berminat menceburi sektor tersebut.

"Masakan akan kami promosi...kalau Thailand boleh promosi tomyam mereka, kenapa tidak kita promosikan asam pedas, mee kari dan mee bandung. Ini agrokulinari yang kami sedang bina. Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Antarabangsa (MAHA) tahun lepas, satu seksyen kami bangunkan (agrokulinari)," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Wakil jabatan audit mengaku rakam mesyuarat "pinda laporan audit 1MDB"

 
     

Pasukan audit 1MDB terkejut dengar gugur penyata kewangan - Saksi

 
     

Johor umum bantuan khas kewangan sebulan gaji buat penjawat awam negeri

 
     

Cadang Pahang kenakan sewa tinggi kepada Lynas - ADUN Kemayan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel