Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Nasib nelayan mangsa kebakaran rumah di Tg Piai dapat perhatian  


Tarikh kemaskini: 01/11/2019





PONTIAN, 1 Nov -- Nasib seorang nelayan, Abdul Razak Sahak, yang kehilangan rumah dalam kebakaran di Jalan Benting Dinding, Tanjung Piai, di sini, 27 Okt lalu, mendapat perhatian kerajaan yang menyampaikan bantuan pembinaan rumah baharu dengan kos maksimum RM56,000.

Surat kelulusan bantuan program bina baharu menerusi Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) kepada Abdul Razak, 60, itu disampaikan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Salahuddin Ayub, ketika meninjau lokasi kejadian, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) MOA Datuk Salim Parlan dan Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Jamaludin Othman.

Salahuddin berkata pemberian bantuan tersebut merupakan kewajipan kerajaan malah ia biasa diberikan kepada nelayan yang ditimpa musibah sama ada bot mereka hilang, pecah atau musibah lain seperti kebakaran berkenaan.

PKPN merupakan usaha kerajaan bagi meningkatkan taraf hidup isi rumah berpendapatan rendah dengan membaik pulih rumah, membina rumah baharu dan mewujudkan penempatan semula nelayan dengan prasarana asas supaya golongan nelayan menikmati kualiti hidup yang lebih baik dan selesa.

PKPN terbuka kepada golongan nelayan yang memenuhi syarat-syarat kelayakan dengan pembinaan rumah baharu di atas tanah milik nelayan dengan kos maksimum RM56,000 bagi sebuah rumah.

Sementara itu, Abdul Razak berkata dia sekeluarga berterima kasih dan bersyukur atas keprihatinan kerajaan menerusi MOA dan LKIM yang membantu membina rumah baharu.

Dalam kejadian kira-kira 12.30 malam itu, Abdul Razak berkata dia sekeluarga tidak sempat menyelamatkan barang-barang di rumah tersebut yang musnah sepenuhnya sehingga kerugian kira-kira RM150,000.

Menceritakan lebih lanjut, Abdul Razak berkata kejadian berlaku ketika dia tidak berada di rumah selepas keluar sejak 9 malam, namun, isterinya serta anak berada di premis berkenaan.

"Rumah ini mempunyai dua pintu (dua unit) yang satu pintu (satu unit) dihuni oleh saya, isteri (Badu Haron, 58) dan anak perempuan, (Nor Atikah Hanim,18).

"Satu pintu lagi dihuni oleh seorang lagi anak perempuan bersama suaminya serta tiga anak mereka," katanya dengan sebak.

Menurut Abdul Razak, rumah berkenaan diduduki mereka sekeluarga sejak lima tahun lepas dan buat masa ini mereka sekeluarga menumpang di rumah seorang saudara berhampiran.

-- BERNAMA  


 

   

 
 
     
   
 

Wakil jabatan audit mengaku rakam mesyuarat "pinda laporan audit 1MDB"

 
     

Pasukan audit 1MDB terkejut dengar gugur penyata kewangan - Saksi

 
     

Johor umum bantuan khas kewangan sebulan gaji buat penjawat awam negeri

 
     

Cadang Pahang kenakan sewa tinggi kepada Lynas - ADUN Kemayan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel