Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Restoran hidang menu eksotik juga dalam perhatian - KPN


Tarikh kemaskini: 01/11/2019





JERANTUT, 1 Nov  -- Perang terhadap aktiviti pemburuan haram turut melibatkan siasatan terhadap restoran yang menghidangkan menu eksotik daripada haiwan yang dilindungi, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador. 

Beliau berkata penguatkuasaan Op Khazanah bagi melindungi flora dan fauna negara terancam adalah 'perang menyeluruh' yang melibatkan semua rantaian dalam kegiatan itu supaya tiada yang terlepas daripada tindakan undang-undang. 

"Tumpuan kita bukan hanya kepada mereka yang berburu namun juga kepada yang terlibat dalam perdagangan haiwan eksotik termasuk yang menghidangkannya di restoran. Kita akan siasat dari mana sumber haiwan eksotik itu diperoleh. 

Ini menunjukkan komitmen kita dalam menangani kegiatan menjarah dan merompak hasil hutan negara. Mereka yang terlibat perlu berhenti serta-merta atau bersedia untuk berdepan dengan tindakan," katanya. 

Abdul Hamid berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Peringkat Kontinjen Pahang kepada 199 pegawai dan anggota dari Jerantut, Lipis dan Raub di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) di sini, hari ini. 

Turut hadir ialah Pengarah Pengurusan Bukit Aman Datuk Abdul Rahim Jaafar, Timbalan Ketua Polis Pahang Datuk Mohd Yusri Hassan Basri, ketua-ketua Jabatan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang dan ketua-ketua polis daerah negeri ini. 

Abdul Hamid berkata selain tindakan oleh Jabatan Hutan dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), mereka yang melakukan kesalahan itu juga berdepan hukuman lebih berat mengikut Akta Senjata Api atau Kanun Keseksaan. 

Pada perkembangan lain, Abdul Hamid memberi jaminan bahawa aspek kebajikan anggotanya menjadi keutamaan dirinya termasuk dalam pemberian elaun yang difikirkan wajar khususnya kepada bahagian tugas am di peringkat negeri dan Bukit Aman. 

"Ini juga merangkumi elaun bagi pegawai dan anggota pasukan marin yang selama ini tidak mendapat apa-apa sedangkan sumbangan mereka kepada negara amat besar. Sudah tiba masanya kerajaan menimbangkan elaun seperti mana yang dinikmati pasukan lain," katanya.

Abdul Hamid berkata pihaknya juga kini menerima permohonan daripada kakitangan awam yang berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya dibenarkan memilih waktu kerja anjal, khususnya di Lembah Klang yang dilihat dapat membantu mereka melaksanakan tanggungjawab dengan lebih baik.

Mengenai amaran melarang pegawai dan anggota terlibat dengan salah laku termasuk berhibur di premis hiburan, Abdul Hamid berkata beliau tegas dengan ketetapan itu walaupun ada yang mempersoalkan perkara itu sebagai hak peribadi selepas waktu kerja. 

"Masalahnya tempat mereka berhibur bukan murah, yang belanjanya boleh mencecah ratusan ringgit untuk menyewa bilik karaoke dan layanan sehingga menimbulkan persoalan dari mana datang duit tersebut? 

Adakah mereka ini bayar sendiri dan membazirkan wang gaji sedangkan dalam masa sama ada yang mendesak gaji dan elaun polis dinaikkan. Jika wang gaji habis di pusat hiburan, bagaimana mereka hendak menanggung keluarga?" soalnya. 

Selain itu, Abdul Hamid berkata ada juga premis hiburan itu terlibat dalam jenayah lain seperti pengedaran dadah menjadikan pegawai dan anggota terlibat mudah terjebak, sedangkan mereka seharusnya membanteras perbuatan itu. 

-- BERNAMA 


 

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel