Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Nelayan Bachok dinasihat ikuti perkembangan cuaca dan arahan MetMalaysia


Tarikh kemaskini: 01/11/2019





?????BACHOK, 1 Nov -- Lebih 1,000 nelayan tradisional di sini dinasihat mengikuti perkembangan cuaca daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan mematuhi arahan yang dikeluarkan jabatan itu berhubung keadaan cuaca yang tidak menentu dan berbahaya kepada sebarang aktiviti di laut.

Pengerusi Persatuan Nelayan Bachok, Mohd Saripudin Isahak berkata pihaknya mendapati kira-kira 40 peratus daripada jumlah nelayan itu terutama yang memiliki pukat udang dan pukat hanyut masih turun ke laut dengan alasan keadaan cuaca yang baik. 

“Mereka telah diarah menangkap ikan di tepi pantai sahaja kerana dikhuatiri keadaan cuaca boleh berubah pada bila-bila masa,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

MetMalaysia hari ini mengeluarkan kenyataan angin kencang timur laut berkelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan dan ia berbahaya kepada bot-bot kecil.

Mohd Saripudin berkata bagi nelayan yang masih meneruskan aktiviti menangkap ikan, mereka dinasihat keluar secara berkumpulan sebagai persediaan saling bantu-membantu jika berlaku musibah di luar jangka.

Katanya mereka juga perlu memakai jaket keselamatan dan membawa bekalan makanan serta minyak yang mencukupi selain diingatkan untuk segera pulang ke pangkalan masing-masing iaitu di Pangkalan Kuala Kemasin dan Pangkalan Pantai Senok jika keadaan cuaca menjadi buruk.

Beliau berkata, ini disebabkan kedua-dua pangkalan itu cetek dan sempit yang akan menyukarkan mereka memasukinya dalam keadaan ombak besar dan tergesa-gesa.

“Ini berdasarkan pengalaman saya sendiri apabila bot saya hampir karam ketika cuba memasuki kuala dalam keadaan ombak yang besar, musim lepas,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel